suria

MB Kedah Mahu Skuad Bola Sepak Kedah Bangkit

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini meminta pemain bola sepak negeri itu supaya bangkit daripada prestasi hambar ketika ini.

Katanya sejak beberapa musim lalu, prestasi skuad Liga Malaysia Kedah tidak begitu baik pada peringkat awal dan berhadapan dengan masalah sebelum dapat beraksi dengan baik.

"Keputusan ketika ini tidak seteruk mana, masih baik, namun pemain perlu tingkatkan prestasi permainan untuk mencapai kemenangan. Harap pemain-pemain dapat lebih bersungguh-sungguh," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, Rabu.

Prestasi Kedah dalam saingan Liga Super musim ini agak hambar apabila sekadar menduduki tempat ke-10 daripada 14 pasukan selepas enam perlawanan dengan satu kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan, selain hanya mampu menjaringkan dua gol. Beliau berkata pasukan Kedah mendapat sokongan yang baik kerana rakyat Kedah amat meminati bola sepak yang merupakan hiburan mereka pada waktu malam.

Azizan yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 seorang kepada tiga pemain Kedah yang beraksi dalam skuad kebangsaan ketika menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dan seorang penolong jurulatih skuad itu.

Mereka ialah pemain tengah Amar Rohidan dan dua pemain pertahanan Mohd Sabre Mat Abu serta Khairul Helmi Johari, dan penolong jurulatih yang berasal dari Kedah Tan Cheng Hoe.

Kerajaan Kedah sebelum ini mengumumkan pemberian ganjaran itu kepada lima pemain negeri ini yang mewakili skuad kebangsaan pada kejohanan itu dan seorang penolong jurulatih skuad tersebut.

Dua lagi pemain yang akan menerima ganjaran itu ialah pemain sayap Mohd Khyril Muhymeen Zambri dan pemain tengah Mohammad Faizal Abu Bakar.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain