Kelantan Terus Kuasai Liga Super - Sukan | mStar

Kelantan Terus Kuasai Liga Super

KUALA LUMPUR: Kelantan meneruskan penguasaan di persada liga setelah menewaskan naib juara Piala Malaysia tahun lalu, Negeri Sembilan, 3-0 di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Baharu, malam Selasa.

Skuad bimbingan Datuk M. Karathu itu bagaikan memberikan amaran awal musim dengan mempamerkan aksi agresif untuk meraih tiga mata dengan gol pembukaan hanya diperolehi pada minit ke-49 menerusi S. Chanturu.

Penyerang berbisa Norshahrul Idlan Talaha seterusnya menambah dua gol pasukan 'The Red Warriors' pada minit ke-74 dan 80 selepas menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd Farizal Marlias.

Kejayaan Kelantan itu bagaimanapun gagal diikuti rapat oleh pesaingnya Perak apabila nyaris dimalukan oleh Harimau Muda A di tempat sendiri sebelum sempat menjaringkan gol penyamaan 1-1 menerusi Md Noor Hazrul pada lima minit terakhir perlawanan di Stadium Perak, Ipoh, Perak.

Pasukan pelawat bagaimanapun terlebih dahulu mengejutkan pasukan Seladang apabila menjaringkan gol pembukaan seawal pada minit ke-11 menerusi Wan Zack Haikal.

Dengan keputusan tersebut, Perak kini di tangga kedua dengan ketinggalan dua mata di belakang Kelantan yang kini meraih 14 mata sepanjang enam perlawanan setakat ini.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Terengganu melakar kemenangan ketiga apabila menumpaskan Johor FC 3-0.

Kejayaan memperoleh mata penuh itu membolehkan Terengganu melonjak ke tangga ketiga dengan terikat 11 mata bersama Selangor dan Felda United.

Gol skuad anak didik Irfan Bakti Abu Salim dijaringkan oleh Abdul Hadi Yahya pada seawal minit ketujuh, Ismail Faruqi Alshaari (minit ke-12) dan gol terakhir oleh Saari Samsudin pada minit ke-77.

Di Stadium Shah Alam, Selangor mula mencari rentak apabila berjaya memperbaiki kedudukan setelah menumpaskan Kedah 2-0.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, pasukan Felda United mencatat kemenangan di tempat sendiri apabila menumpaskan pasukan kelab dari Terengganu, T-Team 2-0.

Felda United memperoleh gol menerusi jaringan Faderin Kadir pada minit ke-61 dan Muhd Zamri Chin selang lima minit kemudian (min-66).

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang dan Sabah berkongsi mata apabila seri 2-2.

Pasukan pelawat terlebih dahulu menggegar gawang tuan rumah dengan jaringan dua gol menerusi Razlan Oto pada minit ke-30 dan Leopold Alfonso pada minit ke-68 sebelum Pahang bangkit menyamakan kedudukan menerusi R. Surendran pada minit ke-70 dan Famirul Sayuti pada minit ke-79.

Di Stadium Utama Negeri, Kangar, pasukan tercorot liga, Perlis masih gagal memecah kebuntuan mencipta kemenangan pertama dalam liga apabila seri tanpa jaringan 0-0 dengan Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Berikut

Keputusan La Liga Sepanyol

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

MMA cabar ego Zul Ariffin

Hujung minggu yang panjang pada 2019