suria

Sukma Ke-14: Terengganu Hantar 246 Atlet

KUALA TERENGGANU: Terengganu akan menghantar 246 atlet lelaki dan wanita untuk menyertai Sukma Ke-14 2011 di Bukit Jalil, Jun ini.

Mereka akan mewakili 14 jenis sukan iaitu bola baling, futsal, bola jaring, bina badan, bola tampar, berbasikal, judo, kabaddi, kanu, lawan pedang, ping pong, ragbi, bola lisut dan tenis.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat berkata kali ini Terengganu mensasarkan 24 pingat emas, 15 perak dan sembilan gangsa.

"Angka itu sudah cukup untuk kita mempertahankan juara," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kontinjen Terengganu Sukma XIV 2011 di sini Selasa.

Rozi berkata kebanyakan atlet yang mewakili Terengganu di Sukma Melaka tahun lepas masih lagi berada dalam kontinjen itu tahun ini.

Beliau berkata atlet Terengganu membuat latihan sepanjang tahun bagi persediaan menghadapi Sukma kali ini.

Katanya kerajaan negeri memberi laluan kepada pasukan-pasukan menggunakan khidmat jangka pendek jurulatih import bagi menggilap atlet-atlet yang ada.

Mereka hendaklah memilih jurulatih yang benar-benar berkebolehan dan mampu membantu Terengganu mencapai sasaran, katanya.

Sementara itu, 18 atlet Terengganu yang mewakili negara pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun lepas menerima insentif daripada kerajaan negeri bernilai hampir RM100,000.

Mereka terdiri daripada atlet berbasikal, skuasy, hoki lelaki, hoki wanita, sepak takraw, ragbi dan angkat berat dengan jumlah antara RM1,000 hingga RM15,000 seorang.

Rozi menyampaikan insentif itu pada majlis tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain