suria

Skuad Hoki Wanita Sasar Tempat Keempat Pada Kejohanan Di Vienna

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita kebangsaan menyasarkan sekurang-kurangnya tempat keempat pada kejohanan Cabaran Juara-Juara yang berlangsung di Vienna, Austria mulai 7 hingga 15 Mei ini.

Jurulatih baru skuad itu, Nasihin Nubli berkata jika pasukan kebangsaan berjaya mencapai sasaran tersebut, Malaysia yang kini di tangga keenam ranking dunia, mampu memperbaiki kedudukan di tempat keempat.

"Saya percaya sasaran tempat keempat pada kejohanan di Vienna mampu dicapai pada kejohanan yang disertai lapan pasukan itu," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Selasa.

Nasihin berkata pemain sedang melakukan persiapan menghadapi tiga perlawanan menentang pasukan teratas Liga Jepun iaitu Sony di Stadium KPM, Jalan Duta di sini dari 19 hingga 21 Mac ini, sebelum perlawanan persahabatan di Australia.

Beliau berkata pemilihan pemain Olimpik London akan dilakukan selepas kejohanan di Vienna.

"Kesemua pemain mula menjalani latihan pusat sejak Februari lagi bagi menghadapi dua kejohanan utama pada tahun ini.

"Pemain akan dipilih berdasarkan prestasi cemerlang terkini mereka, dan kesesuaian diri dalam taktik terbaru bagi skuad itu," katanya.

Artikel Lain