suria

Karate Sasar Enam Emas Di Sukan SEA Indonesia

KUALA LUMPUR: Skuad karate kebangsaan menyasarkan meraih sekurang-kurangnya enam pingat emas pada Sukan SEA Indonesia November ini bagi menyamai jumlah pungutan di Laos, dua tahun lepas.

Jurulatih kebangsaan P.Arivalagan berkata walaupun sasaran telah ditetapkan, pemilihan atlet yang bakal bertanding belum dilakukan.

Beliau berkata pemilihan atlet bagi menganggotai skuad kebangsaan ke temasya di Indonesia itu akan dilakukan selepas Kejohanan Karate Senior Kebangsaan di Johor pada 21 dan 22 Mei ini.

Selepas itu, skuad kebangsaan akan beraksi dalam Kejohanan Karate Senior Asia di China pada Julai ini, katanya kepada Bernama, Isnin.

Arivalagan berkata walaupun pemilihan belum dibuat, semua atlet menjalani latihan harian sejak awal tahun ini.

Sukan karate merupakan antara penyumbang utama pingat emas kepada kontinjen negara dalam pelbagai temasya, termasuk enam di Laos dan dua pada Sukan Asia ke-16 di Guangzhou, China pada Disember lepas.

Artikel Lain