suria

Kecederaan Azizulhasni: PKBM Tidak Cadang Buat Bantahan

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak bercadang membuat bantahan rasmi terhadap penganjur Kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Manchester berikutan kecederaan Mohd Azizulhasni Awang ketika berlumba di sana pada minggu lepas (21 Februari).

Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad berkata, insiden tersebut berlaku di luar jangkaan pihak penganjur di Manchester yang telah mengikuti segala prosedur sebelum sesi perlumbaan berlangsung.

"Saya yakin penganjur telah meneliti kualiti prasarana sebelum mengadakan perlumbaan dan keselamatan bagi velodrom itu kerana saya tidak nampak sebarang unsur kelemahan atau kecuaian.

"Cuma kita tidak bernasib baik. Kita kena terima. Ramai yang tercedera semasa atas trek tetapi nasib baik keadaan Mohd Azizulhasni tidak serius," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian selepas menerima penyerahan replika jersi kuning daripada Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) Telekom Malaysia Berhad (TM) Rozalila Abdul Rahman, di sini Isnin.

TM adalah penaja utama kejohanan berbasikal Jelajah Malaysia tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam meminta PKBM dan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menyiasat punca kemalangan yang menyebabkan betis kiri Mohd Azizulhasni tertusuk serpihan kayu ketika kejohanan itu.

Bagaimanapun, pelumba basikal trek yang menjadi prospek untuk meraih pingat emas pertama negara pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London berjaya menamatkan perlumbaan tersebut dan meraih pingat gangsa bagi terus mengungguli ranking pertama Siri Klasik Piala Dunia.

Dalam perkembangan lain, Naim berkata, beliau akan mendaftarkan nama pelumba basikal trek negara itu dalam kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Apeldoorn, Belanda 23 Mac depan namun status penyertaan Mohd Azizulhasni masih belum diketahui.

"Bagaimanapun, kita tetap akan mendapatkan pandangan dan lampu hijau daripada pakar perubatan dari Institut Sukan Negara (ISN) mengenai Mohd Azizulhasni sebelum membenarkan dia beraksi.

"Sekiranya pakar tidak membenarkan pelumba itu ambil bahagian, peluang untuk Mohd Aizulhasni melepasi kelayakan Olimpik tetap luas kerana dia sudah cukup mata untuk layak dalam kelayakan tersebut," katanya.

Katanya, tarikh daftar penyertaan kejohanan di Belanda itu bermula hari ini (28 Februari) hingga 13 Mac depan.

Naim berkata, sebanyak 15 slot akan diisi pelumba negara dalam kejohanan di Apeldoorn namun setakat ini selain Azizulhasni, nama yang disenaraikan ialah Muhamad Adiq Husainie Othman, Mohd Rizal Tisin, Fatehah Mustafa, Josiah Ng, dan Mohd Idrus Yunus.

Sementara itu, Rozalila berkata TM buat julung kalinya menjadi penaja rasmi kepada kejohanan Jelajah Malaysia yang akan meliputi laluan dari Selangor, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan, sejauh 1,015km pada 8-16 Mac. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain