suria

Nicol, Chong Wei Antara Pilihan Popular Anugerah Atlet Terbaik SAM-100Plus

KUALA LUMPUR: Dua personaliti sukan bergelar Datuk, Lee Chong Wei dan Nicol Ann David, menjadi pilihan popular untuk merebut Anugerah Atlet Terbaik 2010 Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia(SAM)- 100Plus kali kedua pada 6 Mac ini.

Kedua-dua jaguh badminton dan skuasy itu, yang sama-sama berasal dari Pulau Pinang, adalah antara lima calon yang disenarai pendekkan oleh SAM bagi merebut anugerah serta wang tunai RM10,000.

Calon lain yang turut tersenarai ialah pelumba berbasikal trek negara yang dinobatkan sebagai juara dunia tahun lepas, Mohd Azizulhasni Awang dan pemenang pingat emas acara terjun 10m platform wanita pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, Pandelela Rinong.

Turut tersenarai ialah Nur Suryani Taibi, yang meraih pingat emas acara 10m air rifle wanita bergandingan dengan Nur Ayuni Halim di Sukan Komanwel New Delhi dan dan pingat gangsa kategori individu acara yang sama pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Shabery Cheek akan menjadi tetamu kehormat pada majlis penyampaian anugerah itu di sebuah hotel di Subang Jaya.

Tahun lepas, Chong Wei menjadi penerima sulung anugerah tersebut selepas kejayaan beliau memenangi Kejohanan All England dan merangkul beberapa kejohanan Siri Super Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Naib Presiden SAM, Ismadi Abdul Manap, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis itu kerana sibuk dengan dua pilihan raya kecil di Kerdau, Pahang dan Merlimau, Melaka, pada yersebut.

Katanya proses pemilihan pemenang kali ini akan ditentukan melalui undian daripada wartawan sukan dan anggota SAM.

"Kami menjangka sesuatu di luar dugaan mungkin berlaku kerana keputusan muktamad terletak di tangan anggota, bukan panel hakim ataupun ahli tertinggi SAM seperti sebelum ini," katanya.

Sementara itu, pengurus hal ehwal korporat pengeluar minuman isotonik 100Plus, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Datuk Kamal Harun berkata anugerah itu bertujuan memberi pengiktirafan terhadap usaha gigih atlet handalan negara dalam memburu kejayaan.-BERNAMA

Artikel Lain