suria

Pingat Perak Milik Kuartet Negara

Pasukan Malaysia (dari kiri) Zulmazran Zulkifli, Siti Safiyah Amirah, Zandra Aziela serta Adrian Ang (kanan) bergambar kenangan selepas menang pingat Perak dalam acara Berpasukan Campuran pada kejohanan Tempin Bowling Komanwel ke-5 di Sunway Mega Lanes di Petaling Jaya, Khamis. - Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Malaysia pada Khamis menambah satu lagi koleksi pingat perak dalam acara berpasukan campuran pada Kejohanan Boling Komanwel kelima di Megalanes Sunway Pyramid di sini, menerusi kuartet negara Adrian Ang, Siti Safiyah Amirah, Zandra Aziela dan Zulmazran Zulkifli.

Rentak permainan kuartet negara yang sedikit goyah pada dua game terakhir memberi peluang kepada Singapura (Shayna Ng, Geraldine Ng, Jason Yeong-Nathan dan Remy Ong) untuk mengungguli acara itu dengan 5,185 jatuhan pin.

Skuad negara sekadar melakukan 5055 jatuhan pin, ketinggalan 130 jatuhan pin daripada seteru jiran itu.

India yang dibarisi Prathima Hedge, Akaash Ashok Kumar, Swapna Mitra dan Shabbir Dhankot menamatkan kemarau pingat selama sembilan tahun dalam kejohanan itu dengan meraih pingat gangsa.

Kuartet India itu mengetepikan pesaing terdekat Australia dengan mencatat 4765, lebih 12 jatuhan pin.

Selepas memenangi pingat emas (acara perseorangan) dan gangsa (acara beregu lelaki), Zulmaran menampakkan peningkatan dengan melakukan balingan cemerlang hari ini (Khamis) berbanding acara beregu campuran apabila dia sekadar menduduki tempat kelapan berpasangan dengan Siti Safiyah pada Rabu.

"Hari ini saya bermain dengan bagus sekali. Saya gembira kerana melakukan pertukaran bola dan sempat berlatih pada sesi pagi selama 20 minit.

"Memandangkan permainan saya tampak goyah dua hari berturut-turut, saya dan Ben Heng cuba menggunakan bola lain untuk perlawanan hari ini. Strategi itu memang mengejutkan kerana balingan saya kembali cemerlang," katanya ketika ditemui pemberita di sini selepas kejohanan.

Mengulas mengenai acara Masters Lelaki pada Jumaat, Zulmazran mahu melangkah dengan fikiran terbuka dan melakukan beberapa perubahan baru dalam strategi permainan kerana tidak mahu kesilapan sama berulang kembali.

"Saya tidak akan menggunakan lorong dan bola yang sama esok (Jumaat). Dalam tenpin boling, kita menggunakan 'oil machine' jadi kondisi selalu berubah. Oleh itu, saya akan menjadi lebih waspada dan terbuka mengenai kondisi dan pemilihan bola," ujarnya.

Sementara itu, penolong jurulatih, Ben Heng berpuas hati dengan persembahan kuartet negara terutamanya Zulmazran yang menampakkan peningkatan dalam acara berpasukan campuran.

"Saya amat gembira dengan persembahan Zul hari ini (Khamis). Walaupun gagal meraih emas, sekurang-kurangnya kita menang pingat. Saya tidak sabar untuk menunggu saingan Masters Lelaki dan Wanita esok (Jumaat)," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai prestasi hambar Zandra hari ini, Ben Heng berkata, pemenang pingat gangsa acara perseorangan wanita itu ada mengadu rasa sakit di lengan kirinya tetapi ia tidak begitu serius. Kejohanan diteruskan pada Jumaat dengan acara Masters Lelaki dan Wanita.

Artikel Lain