suria

Bina Badan Dipertandingkan Buat Kali Pertama Pada Sukan Malaysia

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali selepas 13 edisi Sukan Malaysia dilangsungkan sejak 1986, acara bina badan akan dipertandingkan pada temasya edisi ke-14 yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil dari 28 Mei hingga 6 Jun ini.

Setiausaha kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) Kamaruzaman Kadir berkata pertandingan acara itu bersama 19 acara pilihan lain disahkan semalam.

"Kemasukan bina badan dalam Sukan Malaysia merupakan pengiktirafan kepada sukan itu. Ketika acara bina badan sering diketepikan dari Sukan SEA dan Sukan Asia, kemunculan acara ini dalam Sukan Malaysia memberi nafas baru kepada pembina badan negara," katanya kepada Bernama, di sini, Khamis.

Kamaruzaman berkata acara bina badan di Sukan Malaysia terbuka kepada pembina badan berusia di bawah 21 tahun dan akan mempertandingkan tiga kategori iaitu bawah 60kg, 60 hingga 70 kg dan 70kg ke atas.

MBBF, katanya akan segera menghantar surat kepada badan gabungannya di negeri-negeri untuk menyediakan atlet bina badan mereka memandangkan temasya itu akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan lagi.

Beliau berkata setiap negeri dibenarkan menghantar enam peserta, maksimum dua peserta bagi setiap kategori.

Berdasarkan penyertaan menggalakkan pada kejohanan bina badan remaja kebangsaan, MBBF merasakan negeri-negeri tidak mempunyai masalah untuk menghantar pembina badan remaja mereka menyertai Sukan Malaysia, katanya.

Bermula tahun ini, Sukan Malaysia akan diadakan setiap tahun, tuan rumahnya berselang seli di antara Majlis Sukan Negara dan negeri-negeri.

MSN akan menganjurkan acara pilihan sementara negeri-negeri mempertandingkan acara wajib.

Selain bina badan, acara sukan pilihan lain ialah ialah besbol, bola jaring, bola keranjang, bola tampar, bola tampar pantai, ekuestrian, petanque, golf, judo, kabaddi, kenu, kriket, lawan pedang, mendayung, ping-pong, ragbi, silambam, snuker & biliard, sofbol, tenis, tinju, bola baling, woodball, akuatik (renang irama dan polo air).

Pahang, tuan rumah Sukan Malaysia edisi ke-15 pada tahun 2012 akan mempertandingkan 24 acara, 19 wajib dan lima acara pilihan.

Sukan wajib ialah akuatik (renang, terjun), badminton, bola sepak, gimnastik, hoki, olahraga, skuasy, tenpin boling, angkat berat, berbasikal, karate, boling padang, memanah, menembak, perahu layar, silat, sepak takraw, taekwondo dan wushu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain