suria

Pemain Kebangsaan Perlu Kerap Dikumpul Bersama

KUALA LUMPUR: Raja Bola Datuk Abdul Ghani Minhat mencadangkan pemain skuad kebangsaan yang bermain dengan pelbagai negeri dan kelab dikumpulkan sebulan sekali untuk menjalani latihan.

Beliau berkata amalan mengumpul pemain dari pelbagai negeri dan kelab untuk membentuk skuad kebangsaan tidak akan menjejaskan momentum sebagai sebuah pasukan bagi menghadapi kejohanan.

"Kalau sudah sampai dua bulan tidak berlatih bersama, elok panggil mereka berlatih jangan biar mereka tidak jumpa lama-lama," katanya ketika ditanya mengenai amalan sukan bola sepak di negara ini yang hanya mengumpul pemain untuk membentuk skuad mewakili negara dalam tempoh terdekat sebelum ke sesuatu kejohanan.

Beliau berkata tidak semestinya pemain negara perlu disatukan dan bermain secara tetap dalam satu pasukan.

"Apa yang penting adalah mereka sentiasa berlatih 'bersama bola' secara konsisten, tidaklah mereka duduk diam sahaja," katanya kepada Bernama ketika di hubungi di sini, Isnin.

Abdul Ghani berkata bermain dengan pasukan negeri atau kelab yang berbeza akan mendedahkan pemain dengan pelbagai corak latihan dan dalam masa yang sama memperkembangkan permainan mereka.

"Tujuan berlatih bersama adalah untuk lebih mengenali gaya permainan antara satu sama lain, persefahaman akan wujud kalau mereka berlatih dengan baik bersama," katanya.- BERNAMA

Datuk Abdul Ghani Minhat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain