suria

Kelantan, Harimau Muda A Menang Perlawanan Pembukaan Piala FA

JUARA Piala Malaysia, Kelantan mencatatkan kemenangan tipis apabila memulakan pemburuan Piala FA dengan mengalahkan kelab Terengganu T-Team menerusi penentuan sepakan penalti dengan agregat 6-5 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat.

Pelawat di bawah bimbingan Datuk M. Karathu terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Rizal Fahmi pada minit ke-53 untuk mengegar gawang T-Team.

Tersentak dengan jaringan itu, tuan rumah terus menggandakan asakan dan memperoleh gol penyamaan menerusi lorongan cantik dari Samsul Kamal Muhammad untuk disudahi oleh Indra Putra Mahayuddin dengan merembat kencang ke arah gawang Kelantan pada minit ke-61.

Setelah terikat 1-1, kedua-dua pasukan menggandakan asakan, namun Kelantan yang mendapat sepakan penalti pada minit ke-94 yang gagal disempurnakan oleh Norshahrul Idlan Talaha.

Perlawanan itu berlarutan selama 120 minit sehingga keputusan perlawanan terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti yang menyaksikan Kelantan menang tipis dengan agregat 6-5 mengalahkan T-Team.

Sementara itu, Harimau Muda A memulakan perlawanan pertama dengan kemenangan bergaya menewaskan pasukan SDM Navy 4-0 di Stadium Shah Alam.

Tanpa menurunkan beberapa pemain harapan, Harimau Muda A yang akan menyertai kelayakan Olimpik 2012 menentang Pakistan Rabu nanti menguasai perlawanan malam ini apabila terlebih dahulu memperolehi gol melalui lorongan masuk bola K.Ravindran pada minit ke-10 untuk menewaskan penjaga gawang SDM Navy, Safril Hafizzie.

Pasukan tuan rumah di bawah bimbingan Ong Kim Swee terus mengasak gawang gol dan memperoleh jaringan kedua pada minit ke-37 menerusi sepakan sudut yang dijaringkan oleh Mohd Amer Saidin melalui rembatan jarak dekat.

Selepas rehat, skuad yang beraksi dalam Liga Super itu menggandakan asakan dan menambah penderitaan SDM Navy apabila dua lagi jaringan menerusi Ravindran (min-48) dan Muhd Ferris Danial (min-77).

Tertekan dengan kedudukan tersebut, SDM Navy cuba bangkit namun gagal memperoleh sebarang jaringan hingga tamat perlawanan.-BERNAMA

Artikel Lain