suria

MCKK Anjur Kejohanan Ragbi Premier 7 Sebelah Minggu Depan

KUALA LUMPUR: Demi mengembalikan kegemilangannya dalam sukan ragbi, Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menganjurkan Kejohanan Ragbi Premier 7 Sebelah MCKK di Kuala Kangsar, Perak pada 26 dan 27 Februari.

Pengetua MCKK Anand Baharuddin berkata kejohanan itu disertai 24 pasukan dari sekolah terpilih.

"Setiap tahun, MCKK menyertai banyak pertandingan ragbi di dalam dan di luar negara serta di pelbagai peringkat umur. Kini tibalah masanya untuk MCKK memulakan pertandingannya sendiri setelah melihat perkembangan dan penglibatan sekolah-sekolah yang terus meningkat," katanya kepada pemberita, di sini Khamis.

Anand berkata MCKK pernah menjadi sebuah sekolah yang amat disegani satu ketika dahulu dalam arena ragbi kerana ramai pelajarnya terlibat dalam sukan itu.

Katanya bagi tujuan mengembalikan kegemilangan itu, MCKK menubuhkan All-Blacks Revival (ABR) iaitu satu pasukan ragbi diterajui dan dianggotai sekumpulan bekas pelajar MCKK yang mempunyai sentimen tinggi terhadap sukan ragbi.

"Saya berharap ABR bukan sahaja dapat mengembalikan kecemerlangan ragbi, malah dapat meningkatkan kembali minat pelajar MCKK untuk bersukan, selaras dengan dasar baru Kementerian Pelajaran iaitu 1 Murid 1 Sukan," katanya.

Anand berkata Kejohanan Ragbi Premier 7 Sebelah MCKK diadakan hasil kerjasama antara ABR, Persatuan Bekas Pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCOBA) dan MCKK.

Beliau berkata pemenang pertama untuk kejohanan ini bakal membawa pulang Piala N.J.Ryan (Neil Jonathan Ryan) yang merupakan pengetua dan jurulatih ragbi di MCKK.

"Beliau juga yang telah mempopularkan permainan ragbi MCKK di peringkat kebangsaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain