suria

Lima Pemain Pro Tempatan Layak Ke Kejohanan Golf Terbuka M'sia 2011

KUALA LUMPUR: Lima pemain profesional Malaysia menempah tiket ke Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank 2011 selepas pusingan kelayakan di Kuala Lumpur Golf & Country Club di sini Khamis.

Pusingan kelayakan dua hari itu membolehkan mereka menyertai kejohanan bernilai US$2.5 juta (RM8 juta) dari 14 hingga 17 April ini.

Pada pusingan akhir hari ini, pemain berpengalaman Rashid Ismail melakarkan catatan 71 pukulan berbanding 75 pada Rabu untuk mendahului saingan dengan jumlah dua di atas par 146.

Rashid, yang akan beraksi buat kali ke-13 pada kejohanan itu, mencatatkan satu di bawah par 71 hari ini bagi mengesahkan tempat.

"Saya agak berpuas hari dengan pukulan baik dan ia keputusan terbaik tahun ini. Harap dapat beraksi dengan lebih baik pada kejohanan sebenar nanti," kata pemain profesional berusia 37 tahun dari Kelab Golf Impian, Kajang.

Tempat kedua disandang oleh R.Nachimuthu yang mencatatkan jumlah empat atas par 148 manakala pendahulu pusingan pertama A. Sasar menduduki tempat ketiga dengan 149.

Mereka turut diiringi oleh Mohamad Hanafiah Mohd Jamil dan Akmal Tarmizee Nazari, yang terpaksa bermain 'play-off' bersama Mohd Nazri Mohd Zain selepas ketiga-tiga mereka terikat dengan catatan 151 pukulan.

Kejohanan itu akan disertai oleh tiga pemain utama negara Danny Chia, Iain Steel dan Ben Leong manakala Mohd Shaaban Hussin akan beraksi atas tiket jemputan penaja, Maybank.

Persatuan Golf Malaysia (MGA) turut mengumumkan pengecualian diberikan kepada tiga pemain profesional tempatan iaitu M. Sasidaran, S. Sivachandran dan Airil Rizman Zahari.

Enam pemain amatur tempatan juga akan beraksi iaitu Mohd Azman Basharudin, Kenneth de Silva, Mohd Hisyam Majid, Jeremiah Kim, Chan Tuck Soon dan Gavin Kyle Green. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain