suria

Shaberry Mahu Lihat Sendiri Keadaan Di Ranau

KUALA LUMPUR: Berikutan pelbagai isu yang timbul berhubung keputusan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (Koam) untuk menghantar atlet berlatih di Kompleks Sukan Ranau di Sabah, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan turun padang bagi meninjau sendiri keadaan di sana.

Ahmad Shabery berkata beliau mahu memastikan semua kemudahan seperti trek, gim, perubatan dan penempatan atlet telah tersedia di samping mendapatkan maklum balas daripada atlet.

"Jika saya berpuas hati dan yakin dengan keadaan di sana, saya sendiri akan meyakinkan atlet untuk menjalani latihan di sana," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Marathon Standard Chartered Kuala Lumpur 2011 di sini, Isnin.

Beliau dijangka bertolak ke Ranau, Rabu ini, bersama kumpulan pertama skuad olahraga yang akan memulakan latihan di sana.

Kumpulan itu terdiri daripada 10 individu iaitu enam atlet jalan kaki termasuk pemenang pingat emas Sukan Sea Teoh Boon Lim dan Yuan Yufang, tiga jurulatih dan seorang pakar terapi fisio.

Pelbagai isu timbul berhubung program latihan atlet olahraga di Kompleks Sukan Ranau, antaranya keengganan Majlis Sukan Negara (MSN) meluluskan program itu, prasarana yang tidak lengkap, kos yang tinggi dan kesukaran atlet untuk mengikuti pengajian di universiti.

Timbalan Presiden KOAM Karim Ibrahim berkata program latihan di Ranau perlu dilihat secara positif oleh semua pihak memandangkan ia merupakan usaha persatuan untuk meningkatkan prestasi atlet olahraga.

Beliau berkata latihan di Ranau juga merupakan sebahagian persediaan skuad olahraga bagi menghadapi Sukan Sea di Indonesia November ini.

"Cuaca dan suasana di Ranau adalah sangat kondusif untuk atlet berlatih tanpa gangguan dari luar.

"Lagipun mengapa kita mahu membazirkan wang berjuta-juta menghantar atlet berlatih di luar negara sedangkan kita sudah mempunyai sebuah pusat latihan yang cukup baik," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain