suria

Real Kembali Rapat Jurang Mata Dengan Barcelona

Marcelo meraikan jaringannya ke atas Espanyol.
Marcelo meraikan jaringannya ke atas Espanyol.
Marcelo meraikan jaringannya ke atas Espanyol.

BARCELONA: Kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid kembali merapatkan jurang mata dengan pendahulu La Liga, Barcelona selepas menewaskan Espanyol 1-0, awal pagi Isnin.

Madrid beraksi dengan hanya 10 pemain selepas penjaga gol Iker Casillas dilayangkan kad merah kerana mengasari Jose Callejon seawal minit kedua di Stadium Cornella-El Prat.

Begitupun, kualiti permainan yang ditampilkan Madrid sudah cukup untuk mematahkan serangan Espanyol.

Marcelo menjaringkan gol tunggal Real pada minit ke-24 menerusi percubaan solonya selepas menerima hantaran daripada Cristiano Ronaldo.

Memandangkan penjaga gol pilihan kedua Jerzey Dudek masih bergelut dengan kecederaan, posisi Casillas diambil alih Antonio Adan yang mempamerkan persembahan terbaik pada penampilan pertamanya.

Kemenangan pertama Madrid daripada tiga perlawanan di gelanggang lawan hadir selepas rekod kejayaan Barcelona dalam 16 perlawanan tercalar selepas terikat 1-1 dengan Sporting Gijon.

Walaupun masih ketinggalan lima mata dibelakang Barcelona, Pengurus Madrid, Jose Mourinho berkata, juara bertahan itu masih dalam keadaan terkawal.

"Saya mahu Madrid mendahului dengan lima mata di hadapan pasukan tempat kedua. Namun, cara kami menang suatu perlawanan lebih penting berbanding kehilangan pemain dalam minit kedua dan menurunkan penjaga gol pilihan ketiga," katanya.

Pemain tengah Madrid, Sami Khedira dan perancang tengah Espanyol, Javi Marquez masing-masing mempunyai beberapa percubaan terbaik untuk menjaringkan gol sebelum Marcelo memecah kebuntuan untuk pasukan lawan.

Artikel Lain