suria

KL Marathon 2011 Dijangka Tarik Penyertaan

KUALA LUMPUR: KL Marathon 2011 Standard Chartered yang dijadualkan pada 26 Jun tahun ini dijangka menarik lebih 25,000 peserta berbanding 16,500 tahun lepas.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata acara itu memainkan peranan utama dalam usaha kementerian untuk menggalakkan gaya hidup sihat bagi rakyat Malaysia dari semua peringkat umur, latar belakang dan tahap kecergasan.

"Harapan kami ialah KL Marathon Standard Chartered akan meningkatkan lagi kemajuan atlet kita hingga ke standard antarabangsa. "Tahun ini, kita mensasarkan untuk mempertingkat lagi tahap untuk pelari tempatan kita dan mendaftar lebih ramai pelari penuh," kata beliau semasa melancarkan acara itu di sini, Isnin.

Acara yang mencapai edisi ketiganya tahun ini dianjurkan bersama oleh Standard Chartered Bank Malaysia Berhad, Golazo Sdn Bhd, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Belia dan Sukan.

Ia menawarkan hadiah wang berjumlah US$100,000 dan terbuka kepada orang ramai dalam lima kategori iaitu Marathon Penuh (42.2km), Separuh Marathon(21.1km), 10km & Cabaran Korporat, 5km Larian Ria dan Kids Dash (3km-950m).

Ahmad Shabery menyeru Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) supaya menghantar atlet negara ke acara tersebut bagi menguji sejauh mana kemampuan mereka.

"Acara ini telah menjadi sebuah acara bertaraf dunia. Ini adalah peluang untuk kita membangunkan sukan marathon tempatan seperti yang telah berjaya dilakukan pada sukan berbasikal menerusi Le Tour De Langkawi, pelayaran dalam Kejohanan Monsoon Cup, dan permotoran menerusi Formula One," katanya.

Beliau berkata atlet negara juga mempunyai banyak kelebihan jika bertanding di tempat sendiri, seperti dari segi cuaca, jalan, dan makanan. -BERNAMA

Artikel Lain