suria

Rizal Hadiah Emas Pertama Untuk Negara

PETALING JAYA: Selepas empat hari menunggu, Mohd Rizal Tisin menghadiahkan pingat emas untuk kem Malaysia dalam acara final 1 kilometer ujian masa pada Kejuaraan Berbasikal Asia 2011 (ACC) di Korat, Thailand, Sabtu.

Fatehah Mustapa turut membawa pulang pingat gangsa dalam acara 500 meter ujian masa wanita manakala Jupha Somnet yang bergandingan dengan Lauretta Eva Adrian menghadiahkan pingat perak bagi acara pecut wanita remaja, ketinggalan di belakang Korea Selatan.

Rizal menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 1:04.053 saat sekaligus menghadiahkan emas pertama untuk Malaysia pada kejuaraan itu.

Pelumba kelahiran Klang, Selangor itu bukan saja menundukkan juara bertahan, Zhang Miao dari China tetapi memastikan Malaysia tidak pulang dengan tangan kosong, dua tahun berturut-turut.

Rizal turut memenangi slot mewakili negara dalam acara 1 kilometer ujian masa pada Kejuaraan Trek Dunia di Apeldoorn, Belanda, bermula 23 hingga 27 Mac ini.

Pemenang pingat emas dalam acara elit pada ACC melayakkan diri secara automatik sebagai wakil benua dalam kejuaraan dunia kelak.

Zhang Miao mencatat 1:05.949 saat manakala pelumba Korea Selatan, Han Jaeho meraih pingat gangsa dengan catatan masa 1:07.109 saat.

Ia adalah kejayaan kedua Rizal dalam acara itu selepas memenanginya pada edisi 2008 di Nara, Jepun.

Pada 2009, Rizal sekadar memenangi pingat perak, ketinggalan di belakang Zhang Miao di Indonesia.

Rizal tidak menyertai kejohanan di Sharjah tahun lalu kerana bergelut dengan kecederaan pergelangan kaki akibat kemalangan langgar lari.

"Saya berasa gembira kerana menjadi pelumba pertama Malaysia menang emas pada ACC selepas 20 tahun. Saya pernah memenangi acara keirin pada 2006 dan mengambil bahagian dalam acara pecut yang menang emas pada 2008," katanya.

Fatehah yang pulang dengan tangan kosong dari Sharjah dan Sukan Asia di Guangzhou tahun lalu mencatatkan 37.016 saat untuk memenangi pingat gangsa.

Artikel Sebelum

Artikel Lain