suria

Presiden FAM Nasihat Pemain Kekal Dalam Negara

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, menasihati pemain negara supaya kekal bermain dalam liga tempatan.

Baginda bertitah pemain negara sepatutnya mencurahkan bakti kepada rakyat dan negara yang sentiasa memberi sokongan penuh kepada mereka dan pasukan kebangsaan.

Baginda bertitah demikian ketika diminta mengulas mengenai penghijrahan penyerang kebangsaan Mohd Safee Sali ke kelab Pelita Jaya di Indonesia untuk bermain dalam liga negara itu.

"Ianya sebahagian daripada lumrah sukan itu. Apabila ada pemain terkemuka, banyaklah pihak yang nak ambil mereka. Nasihat saya lebih baik tinggal di Malaysia.

"Seperti kata pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi negeri sendiri," titah baginda kepada pemberita selepas meraikan pasukan negara yang menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, di Wisma FAM, dekat sini, Ahad.

Sultan Ahmad Shah bagaimanapun tidak menafikan hak pemain itu untuk mencari rezeki atau menimba ilmu di negara lain.

"Hal ini kena fikir dengan mendalam. Tapi kalau untuk tambah mata pencarian, tambah ilmu, mereka bebas berbuat demikian. Saya tidak menghalang kerana ia masa depan dan mata pencarian mereka," titah baginda.

Pada majlis itu, Sultan Ahmad Shah menyampaikan insentif daripada FAM berjumlah RM50,000 seorang kepada 22 pemain dan jurulatih kebangsaan K.Rajagobal.

Sementara itu, Mohd Safee yang ditemui pada majlis itu, berkata beliau memilih untuk bermain dalam liga Indonesia kerana mahu memenuhi impiannya beraksi di luar negara.

"Bermain dalam liga Malaysia bukan tidak bagus. Prestasi saya sekarang adalah hasil bermain dalam liga kita. Ini sebagai memenuhi impian saya sebagai pemain profesional," kata bekas penyerang Selangor itu.

Mohd Safee akan bertolak ke Indonesia pagi esok untuk memulakan proses penyesuaian diri dengan kelab barunya.

Menurutnya beliau mempunyai dua hingga tiga minggu untuk bersedia sebelum bermulanya liga Indonesia.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain