suria

MCKK Tuan Rumah Kejohanan Ragbi 7 Sebelah

KUALA LUMPUR: Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), antara sekolah berasrama penuh tertua di negara ini, akan membuka pintunya kepada peminat sukan ragbi untuk menyaksikan Kejohanan Ragbi Premier 7 Sebelah MCKK yang julung kali diadakan di padangnya hujung bulan ini.

Kejohanan ini akan diadakan pada 26 dan 27 Feb dari pukul 8.30 pagi hingga 5.20 petang. Pengetua MCKK Anand Baharuddin berkata pada kejohanan yang ditaja Digi Telecommunications Sdn Bhd itu, sebanyak 24 pasukan dari sekolah seluruh Malaysia, Singapura dan Thailand akan beradu kehebatan untuk merebut Trofi Cabaran N.J. Ryan.

"Sepanjang kejohanan, sekolah ini akan menjadi tuan rumah kepada rakan sejawatan mereka dari seluruh negara.

"Ini bukan saja merupakan suatu peluang untuk memperlihatkan tradisi dan semangat yang menjadi amalan sekolah ini sejak sekian lama, tetapi juga untuk belajar daripada pengalaman orang lain.

"Tujuan utama kejohanan ini ialah untuk meningkatkan standard ragbi dalam kalangan sekolah di Malaysia, di samping memupuk hubungan antara pasukan yang mengambil bahagian dan pelajar," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya sempena kejohanan itu, penduduk Kuala Kangsar juga akan berpeluang menyaksikan acara sampingan yang diadakan, termasuk mengunjungi gerai yang menjual pelbagai barangan.

MCKK ditubuhkan 106 tahun lepas oleh Kerajaan British untuk memberi pendidikan kepada anak-anak daripada keluarga diraja dan golongan elit, sebelum membuka pintunya kepada anak golongan biasa.

Datuk N. J. Ryan (Neil Jonathan Ryan) adalah guru dari Ireland yang memperkenalkan permainan ragbi di MCKK pada 1956.

Beliau kemudian menjadi pengetua dan jurulatih ragbi sekolah itu dari 1959 hingga 1965. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bendtner Mungkin Tinggalkan Arsenal

Artikel Lain