suria

Pemanah Malaysia Sertai Dua Sesi Kelayakan Olimpik

KUALA LUMPUR: Seramai 43 pemanah negara akan memulakan cabaran untuk melepasi sesi kelayakan ke Sukan Olimpik London pada 2012 dengan menyertai Kejohanan Memanah Dunia di Torino, Itali dari 3 hingga 10 Julai ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) Abdul Hamid Hassan berkata daripada jumlah itu, 19 pemanah akan bertanding dalam kategori individu dan selebihnya dalam acara berpasukan, dengan setiap pasukan dianggotai tiga pemanah.

"Daripada kesemua 43 pemanah itu, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM mensasarkan satu pasukan lelaki dan seorang pemanah wanita untuk melepasi sesi kelayakan dan beraksi di Sukan Olimpik London nanti," katanya.

Beliau berkata pemanah kebangsaan mendapat semangat baru untuk meneruskan perjuangan selepas acara itu dikekalkan dalam program 'Road to London 2012' yang bertujuan mencari kilauan pingat emas pertama Malaysia dari temasya sukan terbesar dunia itu.

Kementerian Belia dan Sukan sebelum itu hampir menggugurkan acara sukan itu daripada program Road To London 2012 berdasarkan persembahan hambar pemanah negara ketika Sukan Komanwel di New Delhi Oktober lepas dan Sukan Asia di Guangzhou pada bulan Disember.

Di New Delhi trio Muhammad Izzuddin Abdul Rahim, Cheng Chu Sian dan Arif Farhan Ibrahim Putra dari acara recurve lelaki berpasukan menyumbang satu pingat perak, manakala skuad ke Sukan Asia pulang tanpa sebarang pingat.

Abdul Hamid berkata NAAM bagaimanapun masih belum menentukan pemanah yang akan ke Itali.

Selepas Itali, pemanah negara akan menyertai satu lagi pusingan kelayakan pada tahun ini yang akan diadakan di Tehran, Iran pada bulan September.

Jika mereka tidak cemerlang di Itali, pemanah negara boleh menebusnya di Iran, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Bendtner Mungkin Tinggalkan Arsenal

Artikel Lain