suria

Pasukan AirAsia Yakin Cipta Kejutan Pada Siri GP2 Asia

KUALA LUMPUR: Pasukan AirAsia bersama pelumba Brazil Luiz Razia dan Davide Valsecchi dari Itali akan membuat penampilan sulung pada perlumbaan siri Grand Prix 2 (GP2) sirkit Asia, bermula Jumaat.

Pasukan AirAsia dalam kenyataan di sini hari ini berkata mereka akan menyertai kesemua tiga pusingan sirkit itu di Abu Dhabi, Bahrain dan satu lagi perlumbaan sokongan sempena GP Formula Satu Bahrain pada Mac ini.

Pusingan pertama sirkit itu akan berlangsung di Litar Yas Marina, Abu Dhabi, esok dan Sabtu diikuti pusingan kedua di Bahrain pada 18 dan 19 Februari sebelum pusingan akhir sempena GP Formula Satu Bahrain pada 12 dan 13 Mac ini.

Prinsipal pasukan, Riad Asmat, berkata beliau tertarik dengan dedikasi dan kesungguhan pelumba dan kru pasukan dan berharap kerja keras oleh pasukan itu akan berbaloi sepanjang musim ini.

"Semua orang dapat bekerjasama dengan sempurna dan prestasi dalam sesi ujian menunjukkan bahawa kami bersedia untuk mencapai kedudukan baik dalam grid," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan Phill Spencer berkata pasukan itu melakukan latihan 'pit stop' dan permulaan perlumbaan iaitu aspek kritikal dalam mencapai prestasi terbaik.

"Kami semua yakin untuk perlumbaan pertama walaupun sedikit gusar. Selepas persembahan baik pada sesi ujian, memang ada tekanan tetapi ianya sebagai faktor motivasi yang diperlukan," katanya.- BERNAMA

Artikel Berikut

Bendtner Mungkin Tinggalkan Arsenal

Artikel Lain