suria

Creed Antara 180 Pelumba Sertai JM 2011

KUALA LUMPUR: Pelumba basikal sensasi Amerika Syarikat, Michael Creed, merupakan antara 180 pelumba yang bakal menyertai perlumbaan Jelajah Malaysia 2011 (JM 2011) pada bulan depan.

Ketua Pegawai Operasi JM 2011, Datuk Naim Mohamad, berkata perlumbaan edisi ke-47 itu dengan tema 'Jelajah 1Malaysia-Jelajah Rakyat' menyaksikan jumlah penyertaan tertinggi sejak diperkenalkan pada 1963.

Perlumbaan JM 2011, anjuran Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), akan melalui enam peringkat bermula di Kota Iskandar, Johor, pada 8 Mac ini dan berakhir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, pada 13 Mac ini.

"Kami mensasarkan penyertaan daripada 34 pasukan dari dalam dan luar negara," katanya kepada pemberita selepas pelancaran JM 2011 disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, selaku penaung kejohanan itu, Khamis.

Perlumbaan sejauh 1,011 kilometer itu adalah berstatus 2.2 dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Naim berkata seramai 70 pelumba tempatan akan menyertai perlumbaan itu manakala selebihnya dari Amerika Syarikat, negara-negara Amerika Selatan, Eropah, Australia, New Zealand, dan Asia.

Katanya selain pasukan negeri, Polis, Angkatan Tentera dan skuad kebangsaan, dua pasukan benua iaitu TCT-Pro Asia Terengganu Cycling Team dan LeTua Cycling Team turut berdaftar untuk perlumbaan itu.

Naim, yang juga Timbalan Presiden PKBM, berkata turut membuat penampilan pertama ialah Felda Terengganu Cycling Team dan Pasukan Pelajar-Pelajar Universiti Pengajian Tinggi di bawah Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM).

Katanya pihaknya berhasrat memperluaskan peringkat laluan ke Sabah, Sarawak dan Brunei pada tahun depan.

Perlumbaan kali ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM180,000.

LALUAN JELAJAH MALAYSIA 2011:

Peringkat Pertama (8 Mac): Kota Iskandar-Bandar Penawar, Johor (166.1km)

Kedua (9 Mac): Bandar Penawar-Kluang, Johor (193.9km)

Ketiga (10 Mac): Kluang-Kuala Rompin, Pahang (163.8km)

Keempat (11 Mac): Kuala Rompin-Pekan, Pahang (89.5km)

Kelima (12 Mac): Pekan-Bentong, Pahang (222.5km)

Keenam (13 Mac): Batu Caves-USIM, Nilai (175.2km) - BERNAMA

Artikel Berikut

Bendtner Mungkin Tinggalkan Arsenal

Artikel Lain