suria

Siti Zalina Azam Untuk Kembali Semula Ke Skuad Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Meskipun kini menjalani latihan sendiri, atlet boling padang Siti Zalina Ahmad berazam untuk meraih seberapa banyak kemenangan dalam siri kejohanan pilihan Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) tahun ini bagi melayakkan diri menyertai semula skuad kebangsaan.

"Tumpuan saya pada tahun ini ialah untuk meraih pencapaian terbaik dalam 14 siri kejohanan yang dipilih oleh PLBM bagi membolehkan saya menyertai kembali barisan baru skuad boling padang kebangsaan yang akan dibentuk semula tahun depan," katanya, Khamis.

Siti Zalina, 32, berkata buat masa ini semua pemain termasuk dirinya menjalani latihan sendiri berikutan kontrak mereka dengan PLBM tamat akhir November lalu. Beliau, yang kini menduduki ranking kelima dunia, tidak menjangka akan menyertai banyak kejohanan di luar negara berikutan pembubaran itu.

"Jika ada penyertaan atlet kita ke kejohanan luar, saya tidak tahu bagaimana pemilihan akan dibuat oleh PLBM," katanya.

PLBM akan membentuk skuad kebangsaan baru yang bakal menggandingkan pemain lama dan baru, berdasarkan pencapaian atlet menerusi 14 siri kejohanan.

Siti Zalina pernah mengharumkan negara apabila memenangi pingat emas sulungnya pada Sukan Komanwel Manchester 2002 di England dan mengulangi pencapaiannya empat tahun kemudian dalam Sukan Komanwel di Melbourne, Australia.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain