suria

Mohd Azlan Juara Blunose Classic

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy lelaki nombor satu Malaysia Mohd Azlan Iskandar muncul juara pada kejohanan skuasy Blunose Classic di Nova Scotia dengan mengalahkan pemain Mesir Hisham Ashour.

Pada perlawanan akhir kejohanan itu, Mohd Azlan mengatasi Hisham dengan 11-8, 8-11, 11-9 dan 11-7 dalam permainan yang mengambil masa 53 minit.

"Apabila menentangnya (Hisham), anda perlu bermain dengan mantap dan teliti kerana dia akan membuat serangan terlebih dulu. Anda perlu pastikan bola yang dipukul, jauh daripada jangkauannya," kata Mohd Azlan seperti yang dipetik oleh laman web www.squashsite.co.uk.

Untuk rekod, Mohd Azlan menang empat daripada lima pertemuannya dengan Hisham sebelum ini.

Kali terakhir pemain yang menduduki tangga ke-13 dunia ini menentang Hisham ialah pada perlawanan separuh akhir kejohanan NSC Series No.5 pada 2009 yang menyaksikan Mohd Azlan menang 3-1.

Mohd Azlan hanya kalah kepada Hisham pada Kejohanan Skuasy Antarabangsa Saudi 2006.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Wolfsburg Pecat McClaren

Artikel Lain