suria

'Mek' Tekad Cipta Rekod Angkat Berat Di China

KUALA LUMPUR: Atlet angkat berat wanita negara, Raihan Yusof mahu mencipta rekod kebangsaan pada Kejohanan Angkat Berat Asia di Tongling, China April ini.

Raihan, 20, yang lebih mesra dengan panggilan 'Mek' berkata beliau kini sedang berlatih bersungguh-sungguh setiap hari walaupun ketika bercuti di kampungnya di Kampung Langgar, Kota Bharu untuk mencapai impiannya itu.

Pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel di New Delhi, India Oktober tahun lepas ini membuat angkatan terbaik 80.95 kg untuk acara snatch pada temasya tersebut.

Namun beliau akur hasrat untuk mencipta rekod di China bukan mudah.

"Untuk memperolehi pingat di Kejohanan Angkat Berat Asia adalah sukar kerana China dan peserta lain seperti Rusia dan Iran mempunyai barisan atlet angkat berat wanita yang hebat.

"Namun saya akan cuba melakukannya persembahan yang terbaik bila beraksi di sana nanti," katanya.

Raihan berkata selepas beraksi di China, beliau akan memberi tumpuan pula untuk menghadapi Sukan SEA di Palembang, Indonesia November ini.

"Sehingga kini saya belum meletakkan apa-apa sasaran untuk Sukan SEA di Palembang namun sekiranya tersenarai saya akan cuba melakukan persembahan yang terbaik di sana nanti," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wolfsburg Pecat McClaren

Artikel Lain