suria

Piala Emas Khir Johari: Terengganu Sasar Juara

KUALA TERENGGANU: Terengganu meletak sasaran untuk menjadi juara sepak takraw Piala Emas Khir Johari yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak Mac ini.

Pengurus pasukan Azmi Mohamad berkata ini kerana sudah tiga kali berturut-turut Terengganu tidak bernaib baik memenangi piala yang berprestij itu sejak tahun 2007.

"Kita telah muncul sebagai naib juara sejak tahun 2007, 2008 dan 2009. Kali ini kita harap kita tidak akan gagal lagi," katanya.

Azmi berkata pada kali ini, Terengganu akan menghantar pasukan terbaik dengan gabungan pemain lama dan baru untuk memastikan mereka berjaya merangkul piala tersebut.

Katanya pasukan akan diperkuatkan dengan tiga pemain elit kebangsaan yang mewakili negara pada Sukan SEA di Guangzhau, China baru-baru ini iaitu Mohd Shazwan Husin, Mohd Nasir Manjor Ahmad dan Mohd Fadli Roslan.

Azmi berkata Terengganu juga akan menurunkan pemain muda yang sedang membuat persiapan untuk menghadapi Sukma di Kuantan, Pahang 2012.

Katanya pemain-pemain itu telah membuktikan kemampuan masing-masing ketika mewakili Terengganu dalam kejohanan Piala Presiden PSM Datuk Ahmad Ismail di Bukit Jalil baru-baru ini yang menyaksikan Terengganu muncul juara.

Begitu juga Terengganu telah memilih jurulatih berpengalaman Nordin Ali sebagai jurulatih bagi memastikan matlamat pasukan tercapai tahun ini.

Katanya Nordin akan dibantu bekas jurulatih kebangsaan Thailand, Vitaya Boonta. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anelka Suntik Semangat Chelsea

Artikel Lain