suria

Piala Asia: Jepun Rangkul Trofi Keempat

DOHA: Jepun mengesahkan status mereka sebagai kuasa besar bola sepak Asia selepas menjuarai Piala Asia 2011 dan jurulatih Alberto Zaccheroni yakin masih banyak cabaran berliku perlu diharungi anak didinya selepas ini.

Pemain gantian, Tadanari Lee menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan untuk membantu Jepun membenam Australia 1-0 di final pada Sabtu.

Jepun menjadi pasukan paling cemerlang dalam sejarah kejuaraan itu apabila merangkul kejuaraan keempat mereka selepas menang pada 1992, 2000 dan 2004.

Lebih menarik, mereka mendapat tiket secara automatik untuk beraksi dalam Piala Konfederasi 2013 di Brazil.

"Ia kejayaan menakjubkan. Kami mempunyai skuad mantap. Mereka bersatu dan muncul juara menentang pasukan terkemuka.

"Saya tahu Lee akan menjulang martabat pasukan. Dia berupaya menjaringkan gol kemenangan meskipun diturunkan dari bangku simpanan," ujarnya.

Zaccheroni yang mengemudi pasukan itu selepas saingan Piala Dunia tahun lalu memuji persembahan anak buahnya yang bekerja keras untuk melepasi pusingan separuh akhir.

"Kami berjaya memperbaiki persembahan sepanjang perlawanan. Pemain kami bermain dengan kelajuan menakjubkan. Untuk mara ke final, secara fizikalnya kami begitu kepenatan.

"Jadi kami bertemu Australia yang mempunyai fizikal terbaik dan menekankan aspek taktikal tetapi berjaya menjinakkan mereka. Saya amat berbangga dengan persembahan pasukan," katanya.

Sama seperti pencabar terdekat mereka, Korea Selatan, Jepun menurunkan barisan muda ke Doha tetapi menunjukkan potensi besar untuk memenangi kejuaraan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain