suria

ISAF Tawar M'sia Satu Slot Kelayakan Ke Olimpik London 2012

KUALA LUMPUR: Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) dijangka menerima tawaran satu slot kelayakan untuk beraksi di Sukan Olimpik London 2012 daripada Persekutuan Pelayaran Dunia (ISAF) tidak lama lagi.

Pengurus Besar MYA, Mohd Afendy Abdullah berkata beliau telah menerima pelawaan secara tidak rasmi itu daripada badan induk sukan pelayaran dunia pada minggu lepas menerusi e-mel daripada ISAF kepadanya.

"Mereka (ISAF) melihat Malaysia sebagai sebuah negara di rantau Asean yang berpotensi untuk maju dalam sukan pelayaran kelas International 470," katanya ketika dihubungi Bernama, Ahad.

Mohd Afendy berkata beliau akan menjawab surat itu dalam masa terdekat namun MYA perlu melakukan perbincangan secara terperinci dan mendapat persetujuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) terlebih dahulu.

"Sebelum menerima tawaran itu kita juga perlu tanya pelayar muda kita adakah mereka bersedia untuk memikul cabaran yang besar ini?" katanya.

Beliau berkata skuad pelayaran negara mempunyai beberapa pelayar muda berbakat untuk menggalas cabaran antaranya Khairulnizam Mohd Afendy, Mohd Romzi Mohamad, Nur Amirah Hamid dan Khairulnisa Mohd Afendy.

"Saya yakin dengan tahap kemampuan dan kebolehan pelayar skuad kebangsaan walaupun umur mereka masih muda berbanding dengan pelayar dari negara lain.

"Jika mereka tidak mampu menyumbang pingat pada saingan Olimpik London nanti sekurang-kurangnya ia menjadi satu pendedahan bagi mereka sebelum beraksi dengan sandaran pingat pada Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil 2016 nanti," katanya.

Mohd Afendy berkata hasil daripada kejayaan skuad pelayaran meraih beberapa kejayaan di peringkat dunia sepanjang 2010, Malaysia kini menduduki rangking ke-35 dunia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain