suria

Seers Puji Tindakan Berani Sea Keong

TAMPIN:Jurulatih Malaysia, Graham Seers memuji kayuhan Loh Sea Keong dalam perlumbaan peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 dari Banting ke Tampin selepas berjaya mengutip mata di zon pecutan, Sabtu.

Menurutnya, Sea Keong telah mempamerkan aksi mantap dan berjaya mengekori kelompok depan yang melakukan pemecahan sejak awal perlumbaan lagi, walaupun dia gagal menamatkan perlumbaan di kedudukan yang baik.

"Sea Keong melakukan tugas berani dengan mengekori pelumba United Healthcare Pro Cycling, Maxim Jenkins dan saya harap pelumba lain mampu untuk mengikut semangat yang dipamerkannya," katanya ketika ditemui media selepas tamat perlumbaan.

Sea Keong mula mengutip mata di zon pecutan pertama di Sungai Pelek selepas menjadi pelumba ketiga tiba di belakang pelumba Colnago CSF INOX Pro, Manuele Caddeo dan Bradley Potgieter (MTN Qhubeka).

Pada zon pecutan kedua di Port Dickson, Sea Keong memperoleh satu mata apabila menjadi pelumba keempat tiba di zon tersebut dan berada di belakang Potgieter, Deon Locke (Team Champion System) dan Caddeo.

Kata Seers, dia berharap Sea Keong dapat mengekalkan prestasi itu pada baki tiga lagi peringkat dan mungkin kali ini dia akan dibantu oleh rakan sepasukan yang akan berpecah kepada dua kumpulan.

"Mungkin esok (Ahad) akan ada pelumba lain bertindak seperti mana yang dilakukan oleh See Keong, ini adalah pengalaman yang berguna buat mereka," kata jurulatih yang berasal dari Australia itu.

Sementara itu, Sea Keong berkata, dia tetap kecewa walaupun berjaya mengumpul tiga mata di zon pecutan kerana dia gagal menempatkan diri di kedudukan terbaik dan sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-122 dari 123 pelumba.

"Saya rasa pencapaian saya setakat ini masih belum cukup untuk membuktikan saya seorang pelumba yang hebat, tetapi saya berpuas hati selepas tujuh peringkat saya berjaya mengumpul 18 mata bagi kategori Raja Pecut.

"Saya tidak akan melepaskan peluang jika mempunyai peluang untuk melakukan pemecahan seterusnya berjaya mengumpul mata di zon pecutan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain