suria

Gelaran Raja Pecut Milik Anuar

PUTRAJAYA: Gelaran Raja Pecut (Jersi Biru) akhirnya menjadi milik pakar pecut negara, Anuar Manan dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 peringkat keenam dari Rawang-Putrajaya, Jumaat.

Sebelum ini Anuar berkongsi mata dengan pemegang jersi biru bagi peringkat satu hingga lima, Andrea Guardini dari pasukan Farnese Vini-Neri Sotttoli (FAR) 51 mata, namun dia bangkit kembali selepas 'berehat' pada dua zon pendakian (peringkat keempat dan kelima).

Perlumbaan hari ini menyaksikan Anuar berjaya mengutip mata penuh (5 mata) pada zon pecut pertama di Ulu Klang sekaligus mengumpul 70 mata keseluruhan, kelebihan satu mata di depan Guardini.

Bagaimana pun Anuar sedikit kecewa kerana gagal menjadi pemenang peringkat keenam ini dan hanya menamatkan perlumbaan di tangga kedua, di belakang Guardini.

"Saya sedikit kecewa kerana sememangnya sasaran saya hari ini untuk menjadi pemenang peringkat perlumbaan, tetapi gagal sekali lagi. Pun begitu saya tetap gembira kerana berjaya merampas jersi biru daripada Guardini.

"Masih ada lagi empat peringkat perlumbaan dan saya akan cuba sedaya upaya untuk menjadi pemenang salah satu peringkat perlumbaan," katanya kepada pemberita selepas perlumbaan tamat.

Pelumba kelahiran Terengganu itu turut mengakui bahawa persaingan semakin sengit, lebih-lebih lagi untuk mengekalkan gelaran Raja Pecut ini.

"Tekanan pastinya ada kerana setakat ini saya hanya kelebihan satu mata dengan Guardini, serta saingan daripada pelumba-pelumba yang turut melakukan pecutan. Tidak mustahil untuk saya melakukan sesuatu yang lebih baik kerana rakan-rakan dalam pasukan saling bekerjasama dan banyak membantu saya dalam perlumbaan ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain