suria

USM FC Sasar Empat Tempat Teratas Saingan Liga Perdana Musim Ini

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama negara Koo Kean Keat/Tan Boon Heong melangkah ke separuh akhir Kejohanan Terbuka Korea di Seoul, Jumaat.

Pada saingan suku akhir, Chong Wei menewaskan pemain China Wang Zhengming 21-14, 21-19 manakala Koo dan Tan menundukkan beregu negara Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari/Ong Soon Hock 21-17, 12-21, 21-16.

Chong Wei, yang merupakan pilihan utama kejohanan, terpaksa berdepan dengan seorang lagi pemain China iaitu perseorangan ke-11 dunia Du Pengyu pada Sabtu.

Sementara itu, bayangan perlawanan akhir di antara Chong Wei dengan musuh ketatnya Lin Dan semakin menjadi kenyataan apabila pemain China itu turut mara ke pusingan separuh akhir.

Lin Dan, pemenang emas Sukan Olimpik 2008, menewaskan Taufik Hidayat dari Indonesia menerusi tiga set 21-13, 8-21, 21-15. Lin Dan dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengenepikan pemain muda Indonesia Simon Santoso dalam saingan separuh akhir esok.

Sementara itu, dalam saingan acara beregu, Koo dan Tan diberi tentangan hebat oleh gandingan baru Mohd Fairuzizuan dan Ong.

Meskipun menang set pertama 21-17, beregu nombor lima dunia itu diheret untuk bermain dalam 'rubber game' setelah tewas pada set kedua 12-21.

Mohd Fairuzizuan dan Ong bagaimanapun gagal menyaingi kehebatan bekas beregu nombor satu dunia itu apabila Koo dan Tan beraksi lebih garang pada set ketiga untuk menamatkan permainan 21-16.

Koo/Tan bakal bertemu beregu nombor tujuh dunia Jung Jae Sung/Lee Yong Dae dari Korea Selatan dalam perlawanan separuh akhir esok.

Satu lagi perlawanan separuh akhir beregu lelaki akan berlangsung di antara beregu nombor satu dunia Mathias Boe/Carsten Mogensen dari Denmark dengan Ko Sung Hyun/Yoo Yeon Seong (ketiga dunia) dari Korea Selatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain