suria

Adiq Puas Hati Keputusan Peringkat Kelima

GENTING HIGHLANDS: Pelumba kelahiran Terengganu, Mohd Adiq Hussainie Othman yang beraksi bersama pasukan benua dari Australia, Drapac Professional Cycling (DPC) berpuas hati dengan keputusan perlumbaan setakat ini.

Adiq yang diletakkan sebagai pelumba pendaki bagi pasukan dibawah pengurusan Agostino Giramondo ini telah mempamerkan aksi terbaiknya sepanjang dua hari peringkat pendakian (peringkat ke-4 dan ke-5) biarpun tidak berada dalam kelompok sepuluh terbaik.

"Saya sangat gembira dengan keputusan dua hari peringkat pendakian ini dan ia sememangnya keputusan yang lebih baik berbanding LTdL tahun lalu.

"Pada perlumbaan dari Ayer Tawar ke Cameron Highlands (Rabu), saya berada di kedudukan ke-52 keseluruhan biarpun pada 25 kilometer ke garisan penamat saya berada dalam kelompok pertama.

"Namun nasib agak malang kerana mengalami tayar pancit. Hari ini saya membuktikan saya boleh melakukan yang lebih baik kerana sebelum selepas zon pendakian di Genting Highlands tamat, saya turut berada dalam kelompok pertama.

"Tetapi pada 5km terakhir, saya ketinggalan kerana semua pelumba mula melakukan pecutan," katanya yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-34 keseluruhan, Khamis.

Sementara itu, Adiq percaya dengan perlumbaan berbaki lima peringkat selepas ini, dia yakin boleh melakukan sesuatu bagi membaiki kedudukan keseluruhan.

"Selepas ini perlumbaan lebih kepada landai dan saya akan cuba untuk melakukan pemecahan. Walaupun saya lebih kepada pendakian, namun saya juga ada kebolehan di laluan landai," katanya.

Perlumbaan edisi ke-16 ini merupakan penampilan kedua Adiq selepas tahun lalu dia dinobatkan sebagai pelumba terbaik Malaysia keseluruhan.

Artikel Berikut

Ayabe Tawan Cameron Highlands

Artikel Lain