suria

Tiga Acara Baru Disenarai Dalam Road to London 2012

KUALA LUMPUR: Sukan bola sepak, hoki lelaki dan menembak antara tiga acara baru yang disenaraikan di bawah program pembangunan Olimpik, Road to London 2012.

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pra Pelancaran Logo Tahun Industri Sukan 2011/2012 di Majlis Sukan Negara di sini pada Selasa.

Ahmad Shabery berkata, pihaknya menyenaraikan tiga acara baru itu khusunya bola sepak ke dalam program Road to London 2012 berdasarkan pencapaian cemerlang sukan tersebut pada beberapa temasya penting sepanjang tahun lalu.

"Kita menyenaraikan sukan bola sepak selepas menyaksikan skuad negara menamatkan kemarau penantian 14 tahun untuk menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dan kejayaan memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2009," katanya.

Sebelum ini, empat sukan sudah berada di bawah program tersebut iaitu badminton, berbasikal, terjun dan memanah.

Dengan penyenaraian tiga acara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meletakkan sasaran baru pada tahun ini untuk menghantar penyertaan terbaik bagi menghadapi pusingan kelayakan ke Olimpik selain memburu emas pertama di temasya empat tahun sekali itu.

"Jika 2010 adalah tahun terbaik kita dalam sejarah sukan negara, tahun ini tiada kejohanan besar. Jadi kita tidak meletakkan sasaran besar pada temasya Sukan SEA. Sebaliknya, kita fokus untuk menghantar penyertaan terbaik bagi menghadapi pusingan kelayakan ke Olimpik," tegasnya.

Peruntukan program 'Road to London 2012' turut ditingkatkan daripada RM16 juta kepada RM26 juta berikutan pertambahan jumlah atlet dalam program tersebut yang bertujuan mencari emas pertama Malaysia dari Sukan Olimpik di London.

Sehingga kini, 77 atlet disenaraikan dalam program itu dan jumlah tersebut mungkin bertambah atau berkurangan mengikut prestasi mereka.

Sementara itu, Ahmad Shabery turut mengumumkan acara memanah masih dikekalkan di bawah program itu sekaligus menamatkan teka-teki berhubung kedudukan sukan tersebut yang sebelum ini berdepan risiko digugurkan.

"Sehingga sekarang, acara memanah masih dikekalkan. Kami memberi peluang kepada mereka untuk memulihkan prestasi dalam dua kejohanan pusingan kelayakan di Itali (Julai) dan Iran (September) ini," jelasnya.

Begitupun, Mohd Fazli Hisham Fauzi digugurkan dalam skuad memanah ke Olimpik manakala tempatnya digantikan oleh Muhammad Izzuddin Abd Rahim. Pemanah utama negara, Cheng Chu Sian dan Wan Mohd Khalmizam Wan Ab Azizi dikekalkan untuk menggalas cabaran Malaysia menghadapi pusingan kelayakan ke Olimpik.

Pasangan beregu badminton lelaki, Mohd Fairuzizuan Tazari/Mohd Zakri Latiff turut menerima nasib sama dan tempat mereka diisi Chan Peng Soon/Goh Liu Ying yang akan beraksi dalam acara beregu campuran.

Senarai acara dan atlet dalam program Road to London 2012:

Badminton: Datuk Lee Chong Wei, Wong Mew Choo, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, Wong Pei Tty/Chin Ee Hui, Chan Peng Soon/Goh Liu Ling.

Berbasikal: Mohd Azizulhasni Awang, Josiah Ng, Mohd Rizal Tisin, Mohd Edrus Mohd Yunus, Muhammad Adiq Husaini Othman, Fatehah Mustapha.

Terjun: Pandalela Rinong, Leong Mun Yee, Bryan Nickson Lomas, Yeoh Ken Nee.

Memanah: Cheng Chu Sian, Wan Mohd Khamizam Wan Abdul Aziz, Ariff Farhan Ibrahim Putra, Muhammad Izzuddin Abd Rahim.

Menembak: Bibiana Ng, Nursuryani Mohd Taibi, Nur Ayuni Abd Halim, Mohd Hasli Izwan, Mohd Hafiz Adha.

Bola Sepak: 25 pemain

Hoki: 25 pemain

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Cabaran Pendakian Adiq Bermula

Artikel Lain