suria

Shahrul Mula Tunjuk Taring

WALAUPUN bertugas sebagai pelumba domestik, Mohd Shahrul Mat Amin telah membuktikan kemampuannya untuk pelumba pasukan Malaysia pertama yang melepasi garisan penamat pada peringkat keempat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011, Rabu.

Pelumba dari pasukan benua negara, Terengganu Cycling Team (TSG) itu mencatat masa 3 jam 43'54" saat untuk menduduki tempat ke-35 pada perlumbaan paling mencabar dan berstatus Hors dari Ayer Tawar ke Cameron Highlands sejauh 137.6 kilometer (km) itu.

Dengan kejayaan itu, sekali dua meletakkan pelumba berusia 21 tahun kelahiran Terengganu ini di kedudukan ke-35 dalam perebutan jersi paling berprestij, Jersi Kuning (pelumba terbaik keseluruhan).

“Secara keseluruhan, perlumbaan hari ini berjalan lancar, mengikut strategi dan yang dirancang sebelum perlumbaan,” katanya yang ditemui selepas perlumbaan semalam.

“Meskipun saya diberi tugas untuk melakukan kerja-kerja domestik, saya tetap bekerja keras untuk meloloskan diri dan mengekori kelompok pelumba yang membuat pemecahan di depan.

“Perlumbaan hari ini sangat laju dan sukar. Selain hujan lebat, jalan juga sangat licin.”

Selain Shahrul, rakan sepasukan, Mohd Saufi Mat Senan dan Puchong Sai-Udomsin (Thailand) turut mempamerkan kekuatan apabila masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat ke-42 dan 43.

Menurut Shahrul, pada awal perlumbaan semalam, dia bertanggungjawab untuk membantu dan memastikan Jaguh Pecut 2010, Anuar Manan dan Mohd Harrif Salleh sampai ke garisan penamat dalam masa yang telah ditetapkan.

Begitu pun, dia mula meninggalkan Anuar dan Harrif untuk memberi fokus pada perlumbaan sebenar sebelum sampai ke zon pendakian terakhir di Bukit Berinchang (127.6km).

“Sebaik pendakian bermula di Bukit Berinchang, saya berjaya menghampiri kelompok pelumba di depan tetapi saya kembali ketinggalan di belakang apabila semua pelumba menuruni bukit.

“Saya cuba beberapa kali untuk mengikut rentak kayuhan mereka tetapi perlumbaan sangat laju dan ini sahaja yang termampu saya lakukan. Pun begitu saya tetap berpuas hati dengan keputusan ini," katanya.

Shahrul berkata, dia akan melakukan tugas yang sama pada perlumbaan esok (Khamis) yang turut menampilkan satu lagi zon pendakian berstatus Hors dari Tapah ke Genting Highland sejauh 124.3 km.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Cabaran Pendakian Adiq Bermula

Artikel Lain