suria

Kementerian Yakin Venue Sukan SEA Di Palembang Siap Menjelang Julai

KUALA LUMPUR: Di sebalik kritikan daripada para pegawai mereka mengenai ketidaksediaan Palembang untuk menganjurkan Sukan SEA ke-26 November ini, Kementerian Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia berkeyakinan bahawa bandar itu akan menepati tarikh akhir 1 Julai untuk menyiapkan venue sukan berkenaan.

Setiausaha Kementerian Pemuda dan Olahraga Wafid Muharram dipetik oleh akhbar Jakarta Post sebagai berkata kementerian itu telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk memantau persiapan di Palembang.

"Pasukan itu, yang terdiri daripada wakil dari kementerian, persekutuan sukan dan Komite Olahraga Nasional Indonesia/Komite Olimpiade Nasional, akan memantau perkembangan pembinaan venue kejohanan," katanya.

Minggu lepas, anggota Suruhanjaya X Dewan Perwakilan Rakyat bagi penganjuran sukan, Reny Marlinawati berkata Palembang tidak bersedia menganjurkan temasya berkenaan memandangkan beberapa venue yang bakal dibangunkan di bandar itu masih lagi berpaya atau ditumbuhi pohon renek, manakala lokasi yang lain pula tidak mempunyai infrastruktur asas atau sokongan.

Reny berkata Palembang juga belum membina perkampungan atlet dan mempromosikan sukan itu.

Naib Presiden Indonesia Boediono, ketika melawat ke Palembang pada hujung minggu lepas, berkata langkah di saat akhir untuk membatalkan acara di bandar itu akan hanya diambil jika berlaku perkara luar biasa membabitkan keupayaan untuk membina venue kejohanan.

Wafid berkata kementeriannya memperuntukkan Rp 200 bilion (RM67 juta) bagi perkampungan atlet dan Rp 34 bilion (RM11.5 juta), dengan tambahan Rp 125 bilion (RM42 juta) bagi venue.

Gabenor Sumatera Selatan Alex Noerdin turut berjanji untuk mencari penyelesaian kepada masalah cuaca dan kekurangan bahan binaan yang melengahkan kerja-kerja pembinaan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Cabaran Pendakian Adiq Bermula

Artikel Lain