suria

LTdL 2011: Rizuan Akur Strategi Tidak Menjadi

BUTTERWORTH: Impian Mohd Nur Rizuan Zainal untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok lima terbaik musnah apabila berlaku kemalangan pada tiga dan satu kilometer ke garisan penamat peringkat kedua perlumbaan Le Tour de Langkawi dari Kangar ke Butterworth, Isnin.

Menurutnya, sebelum kemalangan berlaku, dia berada di kelompok depan dan memberi peluang untuk menamatkan saingan sekurang-kurangnya tempat kelima namun tidak kesampaian kerana terpaksa memperlahankan kayuhannya.

"Saya terpaksa memperlahankan kayuhan dan mengelak dari terlanggar pelumba yang jatuh itu, ia seterusnya memberi laluan kepada pelumba lain untuk memintas saya, apabila saya mengejar semula saya hanya berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-18," katanya ketika ditemui media selepas perlumbaan tamat semalam.

Jelasnya, perlumbaan semalam berdasarkan apa yang telah dibincangkan bersama antara rakan-rakannya serta jurulatih, Graham Seers dan hasilnya sangat memuaskan apabila Amir Mustafa Rusli menduduki tempat ke-32 dan Suhardi Hassan ke-43.

"Seers telah memberi panduan kepada kami dalam perlumbaan peringkat kedua ini, semua ikut gerak dan gaya perlumbaan, itulah yang saya lakukan pada pemecahan kelompok pertama bersama Shinishi Fukushima (Terengganu Cycling Team), David Pell (Drapac Profesional Cycling) dan Domonico Pozzovivo (Androni Giocattoli).

"Bagaimana pun lebih kurang dalam 15 minit kami berada di depan peloton sudah berjaya menangkap kami, seterusnya kembali berada dalam kelompok besar dan saya terpaksa berusaha keras untuk menempatkan diri di bahagian depan sehingga tamat perlumbaan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adiq Bermula Positif

Artikel Lain