Cabaran Pendakian Adiq Bermula - Sukan | mStar

Cabaran Pendakian Adiq Bermula

SELEPAS tiga hari mengharungi perlumbaan landai, kini pakar bukit bagi pasukan benua Australia, Drapac Professional Cycling (DPC), Mohd Adiq Hussainie Othman bersedia untuk melakukan kayuhan pendakian bagi peringkat keempat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Ayer Tawar ke Cameron Highlands Rabu.

Adiq bakal mengharungi tiga cabaran di Zon Bukit (KOM) iaitu di KOM- Pos Slim (265m), KOM -Kampung Raja (1400m) dan zon pendakian status hors-Bukit Brinchang (1613m).

"Ketika perlumbaan peringkat ketiga (Selasa), saya hanya berada di kedudukan keempat (KOM-Bukit Gantang) dan gagal mengutip sebarang mata. Bagaimana pun, secara keseluruhan sepanjang tiga perlumbaan ini saya gembira dengan pencapaian saya kerana saya hanya berkayuh membantu pasukan sahaja.

"Namun esok (Rabu) keadaan sudah berbeza kerana cabaran sengit pendakian bermula dan tugas saya pastinya penuh cabaran.

"Jika sebelum ini kayuhan saya lebih kepada laluan landai, tetapi esok situasi akan dan saya sudah bersedia melakukannya. Setakat ini saya belum pasti apa dirancangkan oleh jurulatih, namun apa yang pasti saya akan gunakan pengalaman saya sebaik-baiknya," katanya ketika ditemui, Selasa.

Perlumbaan edisi ke-16 ini adalah penampilan kedua Adiq dengan menyaksikan pada tahun lalu dia dipilih sebagai pelumba terbaik keseluruhan bagi pelumba Malaysia.

Pasukan yang dibimbing pengurus Agostino Giramondo ini menyenaraikan David Pell, Rhys Pollock, Stuart Shaw, Tom Palmer dan dua pelumba bukan Australia, Floris Goesinnen dari Belanda dan Adiq.

Daripada enam pelumba ini, hanya Palmer dan Goesinnen yang membuat kemunculan sulung mereka di sini tetapi Pell, Pollock, Shaw dan Adiq sememangnya sudah mempunyai pengalaman beraksi di LTdL.

Shaw adalah pemenang peringkat terakhir di Dataran Merdeka edisi LTdL 2010 dan kehadirannya kali ini bersama-sama Pollock dan Palmer dijangka bakal menghangatkan cabaran ke garisan penamat pada laluan landai.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Guardini Terus Kuasai LTDL 2011

Artikel Berkaitan

Artikel Lain