suria

Sathianathan Masih Menunggu Keputusan Rasmi FAM

KUALA LUMPUR: Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan masih menunggu sama ada Lembaga Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan meneruskan hukuman menggantungnya selama enam bulan yang sepatutnya bermula Isnin sehingga Julai ini.

Pada masa yang sama beliau menyerahkan masa depannya kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan jika rayuan yang dikemukakan terhadap penggantungan itu ditolak oleh FAM.

"Jika benar FAM ingin terus mengambil tindakan, saya tidak boleh berbuat apa-apa untuk membantu pasukan Kelantan di musim ini dan adalah lebih baik saya tidak berada dalam pasukan," katanya kepada Bernama.

Namun Sathianathan berkata beliau akan berbincang dengan pihak pengurusan Kelantan FA terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.

Pada Oktober tahun lepas, Sathianathan dikenakan tindakan gantung selama enam bulan kerana melemparkan kritikan terhadap FAM mengenai jadual perlawanan yang diatur oleh FAM.

Beliau kemudian membuat rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FAM namun pihak FAM belum mengeluarkan sebarang keputusan rasmi berhubung kesalahan tersebut.

Beliau turut menolak khabar angin bahawa beliau telah meletak jawatan sebagai jurulatih Kelantan berkuat kuasa serta merta selepas Jawatankuasa Rayuan FAM menolak rayuannya.

Kelantan yang merupakan juara Piala Malaysia musim lalu bakal bertemu Selangor pada perlawanan Piala Sumbangsih pada 29 Januari sebelum memulakan saingan Liga Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adiq Bermula Positif

Artikel Lain