suria

MSN Persiapkan Atlet Paralimpik Untuk Kelayakan Ke Paralimpik London 2012

KUALA LUMPUR: Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) menyenaraikan seramai 21 atlet paralimpik negara yang mempunyai potensi besar untuk melayakkan diri ke temasya Paralimpik London pada tahun hadapan.

Pengarah Cawangan Paralimpik MSN, Mohd Safrushahar Yusoff berkata 21 atlet paralimpik itu terdiri daripada atlet olahraga, renang, memanah, powerlifting, ping pong, berbasikal, pelayaran dan tenis kerusi roda.

"Tahun ini adalah tahun yang kritikal kerana kita perlu memberi sepenuh tumpuan pada tahun akhir kelayakan ini untuk mendapat tempat ke Paralimpik London 2012 nanti," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Mohd Safrushahar berkata 21 atlet terbabit dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang mereka ketika beraksi di Sukan Para Asia di Guangzhou, China pada Disember lepas.

Beliau berharap pada edisi kali ini Malaysia mampu menghantar lebih ramai atlet paralimpik negara yang mempunyai kemampuan untuk membawa balik pingat dalam temasya sukan Orang Kelainan Upaya (OKU) terbesar dunia itu.

Setakat ini, Malaysia telah memperoleh dua slot kelayakan ke Paralimpik London 2012 iaitu dalam acara sukan pelayaran dan berbasikal.

Pada Sukan Paralimpik 2008 di Beijing, China, Malaysia berjaya meraih satu pingat gangsa dalam sukan powerlifting, menerusi atletnya Siow Lee Chan yang berjaya membuat angkatan beban 95kg. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adiq Bermula Positif

Artikel Lain