suria

LTdL 2011: Mohd Harrif Berjaya Naik Podium

LANGKAWI: Pelumba tempatan dari pasukan Terengganu ProAsia Cycling (TSG), Mohd Harrif Salleh berjaya menaiki podium pada perlumbaan peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) yang berlangsung di Langkawi, Ahad.

Perlumbaan sejauh 94.3 kilometer ini menyaksikan Hariff menamatkan perlumbaan di tangga ketiga di belakang Andrea Guardini dari pasukan Farnese Vini-Neri Sotttoli (FAR), manakala tempat kedua diraih oleh pelumba dari pasukan kebangsaan Korea, Sungbaek Park.

Guardini menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 2 jam 3 minit 28 saat.

"Saya sangat gembira dengan kedudukan ketiga hari ini dan tidak menjangka akan berada di podium bersama pelumba lain. Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan, terutamanya Anuar Manan yang banyak membantu saya.

"Selain itu, saya juga turut membantu Anuar mendapatkan mata ketika di zon pecut, dan kami turut bekerjasama dengan dalam kelompok terbaik sebelum mencecah ke garisan penamat," katanya kepada media selepas perlumbaan.

Sementara itu, Guardini yang muncul juara peringkat pertama sekaligus meraih Jersi Kuning, berkata dia akan cuba cuba mengekalkan jersi ini pada perlumbaan peringkat kedua esok.

"Saya teruja dengan perlumbaan hari ini dan akan cuba lagi pada perlumbaan peringkat kedua esok. Kemenangan ini sememangnya disasarkan dan saya harap akan melakukan yang terbaik sebelum menempuh perlawanan lebih sukar pada peringkat keempat dan kelima nanti," katanya.

Selain itu, Park juga berjaya menyarung Jersi Putih bagi kategori terbaik Asia, manakala pelumba dari pasukan Skil Shimano Cycling (SKS), Koen De Kort meraih gelaran Raja Bukit (jersi merah) dengan mengumpul enam mata.

Manakala Jersi Biru (pecut) turut diraih oleh Guardini selepas mengumpul 15 mata, berkongsi kedudukan bersama Harrif, diikuti Anuar yang mengumpul 14 mata.

Seramai 137 pelumba daripada 23 pasukan bersaing hari ini.

Perlumbaan edisi ke-16 anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bakal meneruskan saingan peringkat kedua, Isnin bermula di Kangar menuju ke Butterworth dengan jarak 145.4km.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adiq Bermula Positif

Artikel Lain