suria

Jurulatih Malaysia Puas Hati

LANGKAWI: Walaupun tidak mengutip sebarang mata selepas menamatkan perlumbaan peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011, jurulatih pasukan Malaysia, Graham Seers tetap gembira dengan prestasi yang dipamerkan anak buahnya, Ahad.

Seers berkata, segala perancangan yang telah ditetapkan sebelum perlumbaan lagi telah dilakukan dengan baik oleh kesemua pelumbanya, Suhardi Hassan, Loh Sea Keong, Amir Mustafa Rusli, Mohd Nur Rizuan Zainal, Ahmad Fakrullah Alias dan Muhamad Rauf Nur Misbah.

"Kesemua mereka menamatkan perlumbaan dengan baik tanpa ada sebarang keputusan dan kejadian yang tidak diingini apabila menamatkan perlumbaan pada kelompok besar," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan tamat.

Jelasnya, Fakrullah yang kali pertama beraksi pada perlumbaan pertama juga menunjukkan kayuhan bertenaga selepas menjadi pelumba pertama pasukan kebangsaan yang melintasi garisan penamat.

Pada perlumbaan ini, Fakrullah menduduki tempat ke-21, diikuti Amir ke-27, manakala Sea Keong ke-38, Suhardi ke-59. Sementara Rizuan ke-109 dan ditempat ke-119 daripada 137 pelumba.

"Saya tidak sangka dia mampu mempamerkan kayuhan yang mantap, dia menggunakan segala peluang yang ada untuk berada pada kelompok depan, saya rasa dia menduduki kelompok 20 terbaik.

"Mereka perlu mengekalkan aksi konsisten ini sehingga perlumbaan peringkat kedua esok (Isnin) laluan itu lebih panjang dan berbeza jika hendak dibandingkan dengan di sini ," katanya.

Sementara itu, ketua pasukan, Suhardi berkata, dia berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan dirinya serta rakan-rakan yang lain, tambahan pula perlumbaan peringkat pertama ini sukar diramal siapa yang bakal muncul juara.

"Kalau diikutkan kepada perancangan asal kami tidak terlalu fokus untuk memenangi perlumbaan peringkat pertama ini, kami hanya mahu menyesuaikan diri dengan keadaan perlumbaan dan akan terus berusaha lebih kerasa pada perlumbaan peringkat kedua," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adiq Bermula Positif

Artikel Lain