suria

Guardini Terus Kuasai LTDL 2011

BUTTERWORTH: Pelumba pasukan Farnese Vini - Neri Sottoli (FAR), Andrea Guardini sekali lagi mengungguli perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 selepas dinobatkan sebagai pemenang perlumbaan peringkat kedua dari Kangar-Butterworth sejauh 145.5 kilometer, Isnin.

Guardini yang turut menang pada perlumbaan peringkat pertama di Langkawi Ahad, turut mengekalkan Jersi Kuning bagi pelumba terbaik keseluruhan bagi dua hari berturut-turut.

"Kemenangan hari ini lebih sukar berbanding semalam (Ahad) dan membuktikan ia bukan disebabkan faktor nasib semata-mata. Saya sangat gembira kerana Jersi Kuning masih menjadi milik saya.

"Saya akan cuba mempertahankan jersi ini pada perlumbaan seterusnya," katanya pada media selepas perlumbaan tamat.

Guardini mencatat masa 3 jam 26 minit 26 saat, mengetepikan pencabar terdekat dari pasukan Tabriz Petrochemical Team (TPT), Boris Shpilevsky, manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba dari Terengganu Cycling Team (TSG), Anuar Manan.

Selain meraih Jersi Kuning, Guardini juga turut disarungkan Jersi Biru selaku Raja Pecut setakat ini.

Sementara itu, Jersi Merah (Raja Bukit) masih dipegang oleh pelumba Koen De Kort dari pasukan Skil Shomano Cycling Team (SKS) setelah mengumpul enam mata diikuti pelumba Mehdi Sohrabi (TPT), empat mata dan Andrei Krasilnakau (Chipotle development Team ), empat mata.

"Selepas perlumbaan semalam (Ahad), saya sudah menanam azam untuk terus mengekalkan Jersi Merah dan setakat ini saya berjaya melakukannya.

Bagi kategori Terbaik Asia (Jersi Putih), Anuar Manan mengulangi rekod tahun lalu apabila meraih gelaran Terbaik Asia bagi perlumbaan dengan mencatat masa keseluruhan 5 jam 29 minit 42 saat, kelebihan lima saat daripada pelumba Suren Cycling Team (SUR), Hamid Shirisisan.

Perlumbaan edisi ke-16 anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) ini akan memulakan perlumbaan peringkat ketiga dari Taiping-Setiawan dengan jarak 144.9km, Selasa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adiq Bermula Positif

Artikel Lain