suria

Beregu Denmark Mara Ke Final

KUALA LUMPUR: Gegak-gempita teriakan penyokong yang membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil, di sini ternyata menyuntik semangat pasangan beregu Denmark, Mads Conrads-Petersen/Jonas Rasmussen untuk melangkah ke pusingan final kejohanan Super Siri buat julung kalinya.

Pasangan yang tidak diletakkan sebagai beregu pilihan itu berjaya menyekat kemaraan Naoki Kawamae/Shoji Sato dari Jepun 21-17, 22-20 dengan mempamerkan beberapa skil menarik dalam perlawanan yang berlangsung selama 41 minit.

Semangat kerjasama berpasukan jelas kelihatan dalam gandingan mantap Conrads/Rasmussen itu terutamanya ketika mereka ketinggalan 18-20 pada set kedua.

Menurut Conrads, ketika pasangan Jepun mendahului dengan 20-18, mereka cuba mencuri peluang hasil kesilapan lawan dan tidak terlalu memikirkan keputusan itu sehingga berjaya menyamakan kedudukan 20-20.

"Ketika terikat 20-20, kami melakukan apa saja untuk memenangi perlawanan ini. Ternyata nasib menyebelahi kami untuk melangkah ke final Super Siri buat pertama kalinya," katanya.

Selepas kemenangan itu, Conrads, 23, tidak dapat menahan emosinya lalu meraikan kejayaan mereka dengan melompat keluar gelanggang tanpa disedarinya.

"Saya teruja dan seronok beraksi di sini. Terima kasih di atas sorakan penyokong yang hadir. Sorakan itu menaikkan lagi semangat kami untuk menang selepas ketinggalan seketika di set kedua," jelasnya yang baru pertama kali beraksi di Terbuka Malaysia.

Sementara itu, Rasmussen mengakui berasa bangga melangkah ke final dan bersiap sedia bertemu sesiapa saja lawan mereka pada Ahad.

"Kami tidak kisah berjumpa sesiapa di pusingan akhir. Kami akan mengekalkan permainan terbaik dan cuba mematikan langkah lawan esok," kata pemain berusia 33 tahun itu.

Mengulas mengenai sasaran mereka tahun ini, Rasmussen berkata, tumpuan mereka lebih diberikan terhadap Kejuaraan Dunia yang akan berlangsung di London, England pada Ogos sebelum memikirkan mengenai Sukan Olimpik 2012.

Artikel Sebelum

Terima Kasih BAM - Hafiz

Artikel Berikut

Beregu Denmark Mara Ke Final

Artikel Lain