suria

Suhardi Yakin Rakan Sepasukan Pamer Persembahan Terbaik

LANGKAWI: Pelumba senior yang mengalas tugas selaku ketua pasukan kebangsaan, Suhardi Hassan, yakin rakan sepasukannya mampu memberikan saingan hebat pada edisi ke-16 perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang bermula Ahad ini.

Lapan tahun bersaing dalam LTdL, Suhardi berharap pengalamannya mampu memimpin pelumba muda untuk memberikan saingan.

Menjelang peringkat pertama yang kembali ke Langkawi Ahad ini, beliau awal-awal lagi menanam impian untuk menjulang nama Malaysia dengan menempatkan diri pada kedudukan terbaik dalam kategori pasukan Asia.

"Seperti yang kita semua tahu, setiap pelumba yang bertanding pada peringkat pertama, sudah tentu bersemangat untuk memburu kejayaan.

"Walaupun peringkat pertama itu nanti dilihat sebagai medan untuk mencari rentak, tetapi sasaran saya mahu membawa Malaysia mencapai kejayaan yang sebaik-baiknya," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Jumaat.

Bagaimanapun, Suhardi tetap realistik mengenai peluang barisan pelumba Malaysia menjejakkan kaki di podium pada perlumbaan peringkat pertama sejauh 94.3 kilometer mengelilingi pulau legenda itu.

"Saya percaya pemilihan yang telah dilakukan oleh jurulatih (Graham Seers) akan memberi saingan yang mantap untuk tahun ini," katanya.

Kelainan yang ditampilkan pada edisi LTdL kali ini, menyaksikan dua peringkat pendakian berlangsung secara berturut-turut, seterusnya dianggap laluan getir yang perlu ditempuhi semua pelumba.

"Saya akui tugas kami menjadi lebih mencabar pada LTdL 2011. Ini disebabkan kami terpaksa mengharungi perlumbaan untuk mendaki puncak Cameron Highlands (peringkat keempat) sebelum berkayuh menawan puncak Genting Highlands keesokan harinya.

"Namun, itu semua tidak mematahkan semangat saya dan juga rakan-rakan sepasukan yang lain untuk mencipta kejutan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Beregu Utama Negara Kecundang

Artikel Lain