suria

Simon Kejutkan Chen Jin

KUALA LUMPUR: Pemain muda Indonesia, Simon Santoso melakukan kejutan apabila melangkah ke suku akhir kejohanan Super Siri Terbuka Malaysia Proton 2011 selepas menundukkan juara dunia tahun lalu, Chen Jin pada pusingan kedua, Khamis.

Perlawanan yang berlangsung selama 1 jam 14 minit itu menyaksikan Simon mendahului set pertama 21-12, sebelum Chen Jin bangkit semula pada set kedua dengan keputusan 18-21 untuk mengheret permainan ke set penentuan.

Begitupun, pemain berusia 25 tahun itu memastikan tiket ke suku akhir menjadi miliknya apabila memenangi set penentuan, 21-10.

Dia akan bertemu rakan senegara, Alamsyah Yunus di suku akhir yang berjaya membenam pemain pilihan keenam dari Thailand Boonsak Ponsana 20-22, 21-10, 21-18 dalam perlawanan berasingan.

"Saya akui melakukan banyak kesilapan dan agak terburu-buru untuk menamatkan permainan pada set kedua. Namun di set ketiga, saya lebih sabar dan kekal konsisten.

"Kemenangan ini adalah prestasi terbaik saya selepas berehat selama tiga bulan akibat kecederaan di bahagian pinggang," katanya ketika ditemui pemberita di sini selepas tamat perlawanan.

Ia adalah kemenangan Super Siri pertama Simon ke atas pemain ranking kelima itu yang kali terakhir ditundukkannya pada kejohanan peringkat remaja.

Menurut Simon, corak permainan pemain pilihan keempat kejohanan itu tetap sama saja cuma dia lebih bersabar menghadapi Cheng Jin kali ini.

"Dari awal saya sudah tahu permainan ini pasti sukar. Namun, saya tidak mahu memberi peluang mudah kepada Cheng Jin untuk menang," ujarnya.

Meskipun belum pulih sepenuhnya, beliau memberitahu sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai pemain perseorangan pertama Indonesia jika rakan senegara, Taufik Hidayat memasang hajat untuk menamatkan kariernya.

Artikel Berikut

Beregu Utama Negara Kecundang

Artikel Lain