suria

Palembang Belum Bersedia Anjur Temasya Sukan SEA - Perwakilan Indonesia

KUALA LUMPUR: Tinggal hanya 10 bulan sahaja lagi, tahap pembinaan infrastuktur di Palembang bagi pengajuran Sukan SEA ke-26 pada November, masih sangat perlahan.

Seorang anggota Suruhanjaya X Dewan Perwakilan Rakyat bagi penganjuran sukan, Reny Marlinawati dipetik sebagai berkata oleh Jakarta Post bahawa bandar itu masih belum membina perkampungan sukan dan mempromosikan sukan itu.

"Sebahagian daripada venue penganjuran masih lagi paya dan semak samun, yang lain pula tiada mempunyai asas. Kebanyakan insfrastruktur sokongan masih belum dibina," kata Reny.

Hanya satu sahaja venue yang bersedia, iaitu stadium bola sepak Jakabaring tetapi "itupun memerlukan pengubahsuaian".

Katanya promosi penganjuran sukan itu perlu bagi menguar-uarkan kepada orang ramai mengenai penganjuran sukan dwitahunan serantau ini.

Menteri Belia dan Sukan Indonesia Dr Andi Mallarangeng berkata satu pasukan daripada Kerajaan Pusat akan melawat Palembang pada setiap bulan untuk memeriksa persediaan bandar itu menganjurkan temasya sukan perkumpulan Asean itu.

"Pemeriksaan itu akan bermula dengan lawatan Timbalan Presiden Boediono ke Palembang pada Jumaat," katanya.

Dr Andi berkataa kerajaan dan Anggota Dewan Perwakilan bersetuju untuk membentuk satu jawatankuasa kerja di Palembang untuk memantau pembangunan venue-venue sukan, pembinaan infrastruktur dan persediaan temasya sukan.

Indonesia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA di Jakarta dan Palembang mulai 11 hingga 20 November. - BERNAMA

Artikel Berikut

Beregu Utama Negara Kecundang

Artikel Lain