suria

Datuk Ahmad Sidi Lepas Jawatan Yang Dipertua PLBT

KUALA TERENGGANU: Selepas memimpin Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) selama lebih 20 tahun, Yang Dipertuanya Datuk Ahmad Sidi Ismail melepaskan jawatan berkuatkuasa 18 Disember lepas.

Mengesahkan perkara itu kepada Bernama di sini hari ini, Ahmad Sidi berkata jawatan tersebut kini dipangku timbalannya Syed Ahmad Shaufi Syed Jaafar.

"Peletakan jawatan saya ini adalah sebagai peralihan kepimpinan PLBT untuk mengelak perebutan jawatan akan datang," katanya.

Ahmad Sidi juga berkata sudah tiba masanya jawatan itu diserahkan kepada orang muda, kerana dalam dunia sukan lumba basikal yang semakin mencabar kini persatuan memerlukan pemimpin yang lebih cergas dan berwawasan.

Beliau turut melahirkan keyakinan Terengganu akan terus maju dalam sukan lumba basikal bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga pada peringkat antarabangsa.

Sementara itu mengulas langkah kerajaan memberikan insentif sebanyak RM5,000 kepada pelumba-pelumba Terengganu yang berjaya dalam kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011, Ahmad Sidi berkata ia satu dorongan yang baik.

Insentif itu, katanya mampu memberikan galakan kepada pelumba untuk bersaing dengan lebih bersemangat dalam menandingi pelumba lain termasuk dari luar negara.

Semalam Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan kerajaan negeri akan memberikan insentif wang tunai sebanyak RM5,000 bagi setiap sirkit yang dimenangi oleh pelumba negeri ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Beregu Utama Negara Kecundang

Artikel Lain