suria

Kejutan Misbun Buat Chong Wei

KUALA LUMPUR: Kehadiran Datuk Misbun Sidek bukan saja mengejutkan ribuan penonton yang hadir membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil di sini malah jelas terpancar kegembiraan di wajah Datuk Lee Chong Wei yang ternyata terkejut dengan kemunculan legenda badminton negara itu di bangku duduk jurulatih pada Khamis.

Kemunculan Misbun ibarat turut membawa satu rahmat kepada Chong Wei yang beraksi tanpa jurulatih disisinya pada pusingan pertama semalam (Rabu).

Pada perlawanan kedua, Khamis, Chong Wei berjaya menyekat kemaraan pemain dari Hong Kong, Hu Yun 21-6, 21-9.

Anak jati Pulau Mutiara itu kelihatan tenang memberikan asakan berbisa untuk mematikan lawannya dengan mudah pada set pertama.

Namun Hu Yun bangkit di set kedua tetapi ianya sudah terlambat untuk menjinakkan pemain berusia 29 tahun itu.

Menurut Chong Wei, dia terkejut dan tidak menjangka kehadiran orang penting dalam kariernya itu walaupun beliau sudah meletak jawatan pada 31 Disember lalu.

"Saya tidak sangka dia datang hari ini (Khamis). Saya cuma mahu bertahan dan mahu cuba melakukan yang terbaik pada perlawanan ini selain memberi tumpuan untuk menghadapi Sukan Olimpik 2012 kelak," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Chin Chai berkata, Misbun hadir selepas mendapat surat daripad badan induk itu yang mahu beliau hadir memberi sokongan kepada Chong Wei semasa perlawanan sekali gus mempertimbangkan keputusannya untuk meletak jawatan.

“BAM telah menghantar surat kepada Misbun supaya dia mempertimbangkan keputusannya dan hadir pada kejohanan ini demi negara serta membantu Chong Wei untuk menang,” katanya.

Pemain No.1 dunia itu akan bertemu Tien Minh Nguyen dari Vietnam di pusingan suku akhir pada Jumaat.

Artikel Sebelum

Zakry/Thien How Lebih Yakin

Artikel Lain