suria

Suhardi Bakal Ketuai Pasukan Malaysia

KUALA LUMPUR: Pelumba veteran, Suhardi Hassan diangkat sebagai ketua pasukan kebanggaan Malaysia pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 yang bakal membuka tirai pada 23 Januari hingga 1 Februari ini.

Juara Jersi Putih RTM pada Jelajah Malaysia (JM) 2007 dan 2008 ini bakal mengetuai lima pengayuh lain termasuk Ahmad Fakhrullah Alias, Amir Mustafa Rusli, Loh Sea Keong, Mohd Nur Rizuan Zainal serta Mohd Rauf Nur Misbah.

"Saya gembira kerana dipilih mengetuai pasukan Malaysia dan berharap kami mampu melakukan yang terbaik nanti. Tahun lalu saya tidak beraksi di sini kerana masalah prestasi, dan kini saya yakin dengan kerjasama rakan-rakan, pasukan Malaysia boleh berada dalam kedudukan terbaik berdasarkan kemampuan masing-masing.

"Sepanjang lima bulan menjalani latihan bersama pasukan, saya juga berharap pasukan ini mampu mengutip mata, lebih-lebih lagi bagi kategori bukit. Sebelum itu juga, kami akan ikuti apa yang bakal dirancangkan oleh jurulatih, Graham Seers," katanya selepas pengumuman senarai pelumba Malaysia oleh Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab.

Sementara itu, Abu Samah berkata, pelumba-pelumba yang terpilih ini adalah antara yang terbaik selepas beberapa proses pemilihan dijalankan.

"PKBM rasa inilah pasukan terbaik setakat ini kerana itulah proses pemilihan pelumba dibuat hingga ke akhir saat-saat perlumbaan. Walaupun pada perancangan asal dua pelumba iaitu Mohd Yusrizal Yusoff dan Mohd Shahrul Mat Amin ada dalam senarai tetapi mereka telah pergi bersama pasukan Terengganu Cycling (TSG).

"Rasa sedikit sedih, namun patah tumbuh hilang berganti," katanya.

Selain itu, Abu Samah berkata, dia mengharapkan agar pasukan Malaysia mampu membaiki kedudukan keseluruhan, sekurang-kurangnya berada di kelompok ke-12, berbanding tahun lalu di tangga ke-14.

"Saya yakin mereka kita mampu melakukan yang terbaik. Saya juga berharap pelumba-pelumba Malaysia yang bersama dengan pasukan lain akan bekerjasama dengan pasukan Malaysia," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain