suria

Rashid Selar Sikap Pemain Pelapis

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih negara Rashid Sidek menyelar sikap pemain pelapis yang kurang memberi tumpuan dan sering melakukan kesilapan mudah pada pusingan kelayakan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Putra di sini, Selasa.

Nyata tidak berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemain pelapis, Rashid berkata mereka sepatutnya sudah mampu menunjukkan prestasi yang baik kerana telah diberi banyak pendedahan bertanding di peringkat antarabangsa.

"Yang paling penting adalah fokus. Pemain pelapis harus belajar dari kesilapan ini," katanya kepada pemberita.

Kesemua peserta perseorangan lelaki negara yang bertanding dalam pusingan kelayakan gagal melangkah ke pusingan utama yang bermula hari ini.

Chong Wei Feng yang membuat kejutan melangkah ke suku akhir kejohanan tahun lalu, kali ini tewas pada perlawanan pertama menentang Tommy Sugiarto dari Indonesia 21-16, 24-22.

Daren Liew turut kecundang pada perlawanan pertama di tangan peserta Taiwan Hsueh Hsuan Yi 21-17, 18-21, 22-20, meskipun berhempas pulas dalam permainan yang mengambil masa hampir 70 minit.

Selain itu, pemain bukan pilihan K.Yogendran hampir melepasi pusingan kelayakan apabila menewaskan Hsieh Yu Hsing dari Taiwan 13-21, 21-10, 21-15 pada perlawanan pertama.

Bagaimanapun Yogendran, 29, yang telah tiga tahun tidak bermain dalam kejohanan utama terpaksa akur pada kehebatan pemain muda India Anand Pawar pada perlawanan kedua.

Anand menundukkan beliau dalam rubber set 21-14, 10-21, 21-17.

Chan Kwong Beng yang memenangi perlawanan pertama bertemu pemain Taiwan Chou Tien Chen 21-17, 21-16 pagi tadi, turut dinafikan peluang ke pusingan utama setelah tumpas pada Lee Hyun Li dari Korea Selatan 21-16, 18-21, 21-18 pada perlawanan kedua.

Dalam perseorangan wanita, Lydia Cheah dan Tee Jing Yi berjaya melangkah ke pusingan pertama selepas menewaskan lawan masing-masing.

Lydia bakal bertemu Tai Tzu Ying dari Taiwan manakala Tee dijangka melalui laluan sukar apabila dijadualkan bertemu pemain pilihan kelima kejohanan Julia Schenk dari Jerman.

Sementara itu dalam acara beregu, satu beregu lelaki, empat beregu wanita dan dua beregu campuran negara berjaya layak ke pusingan utama.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain